Kompleks Mahkamah Selayang.

SELAYANG – Sebuah syarikat menjual minuman dan barangan runcit didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menjual kopi yang mengandungi racun berjadual, tahun lalu.

Hakim Norazlin Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas syarikat terbabit selepas pengarahnya, Teh Yew Sim, 54, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah akan mengeluarkan waran melevi sekiranya OKS gagal membayar denda. OKS membayar denda itu.

Syarikat itu didakwa menjual 40 sachet ‘Kopi Jantan Tradisional ‘ (Healthy Man Coffee) kepada pegawai berkuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Gombak.

Kopi itu setelah dianalisa mengandungi racun berjadual iaitu Tadalafil sebanyak 1310.61 mg/kg, bertentangan dengan Seksyen 13(B)(1) dibaca bersama 13B(2)(d) Akta Makanan 1983 iaitu makanan tersebut mengandungi apa-apa bahan yang penambahannya tidak dibenarkan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis makanan di Batu Caves, pada 12 tengah hari, 11 Ogos 2025, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 13(B)(2) dan Seksyen 13B(4) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, V.S Vivig Dinesh memohon hukuman setimpal kerana Tadalafil hanya boleh diberi kepada pesakit melalui preskripsi doktor yang berdaftar dan bertauliah serta tidak dibenarkan pencampuran dalam makanan.

Katanya, kopi itu membahayakan kesihatan dan keselamatan pengguna jika diminum secara harian kerana ia berdepan dengan risiko kesihatan serius termasuk penurunan tekanan darah secara mendadak, gangguan sistem kardiovaskular, interaksi berbahaya dengan ubat lain terutama ubat sakit jantung yang mengandungi nitrat.

“Ia juga memberi kesan sampingan antaranya serangan jantung dan strok. Kes penambahan racun dalam produk makanan semakin berleluasa demi mengaut keuntungan cepat tanpa mempedulikan keselamatan pengguna,” kata Vivig Dinesh.

Yew Sim yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman ringan atas alasan dia penanggung tunggal keluarga selain menyesal melakukan kesalahan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Menurut fakta kes, dua pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah Gombak telah ke premis syarikat berkenaan untuk pemerikasaan dan pensampelan makanan bagi tujuan analisis.

Hasil analisis mendapati sampel yang diambil mengandungi Tadalafil yang tidak sepatutnya ditambah dalam sebuk kopi berkenaan – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast