KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengingatkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, bahawa isu padi dan beras masih gagal ditangani kerajaan apabila golongan pesawah terus turun berdemo hampir setiap kali sidang Parlimen berlangsung bagi menuntut pembelaan terhadap nasib mereka.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, siri protes melibatkan pesawah bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berulang kali berlaku dan mencerminkan kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah dalam industri padi negara.
Menurutnya, demonstrasi yang berlaku itu turut dipengaruhi budaya protes yang dipelopori Ahli Parlimen Kota Raja, yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah).
“Setiap kali sidang Dewan Rakyat mesti ada demo. Demo itu dia belajar daripada Kota Raja. Kota Raja ini guru segala-galanya.
“Saya ke mana pun saya anggap dia sebagai guru politik saya, guru demo dan sebagainya,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Perkara sama dibangkitkan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Abdul Ghani Ahmad yang berkata, pesawah akan sentiasa berhimpun di pintu masuk Parlimen setiap kali persidangan berlangsung bagi menyuarakan tuntutan yang masih belum dipenuhi.
Katanya, demonstrasi itu dianjurkan melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan penyerahan memorandum kepada wakil rakyat, namun pembelaan menyeluruh terhadap pesawah masih belum direalisasikan kerajaan.
“Setiap kali persidangan Parlimen, pesawah melalui NGO akan berhimpun di pintu masuk Parlimen untuk menyerahkan memorandum agar hak mereka ditunaikan,” katanya.
Abdul Ghani berkata, isu padi amat dekat di hatinya memandangkan beliau merupakan anak pesawah dan sering menerima aduan berkaitan kesukaran yang dihadapi golongan tersebut.
Menurutnya, seramai 44,139 pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terlibat secara langsung dalam industri padi negara, namun mendakwa mereka masih belum menerima pembelaan sewajarnya.
Beliau merujuk memorandum yang diserahkan oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) kepada Ahli Parlimen PN pada 20 Januari lalu yang antara lain menuntut pengekalan kadar pemotongan padi pada siling maksimum 20 peratus, kenaikan harga lantai padi kepada RM1,800 satu tan metrik atau peningkatan subsidi padi kepada RM800 bagi mengimbangi kos input.
Selain itu, memorandum berkenaan turut menggesa kerajaan mengurangkan kos input pesawah termasuk jentera, benih dan racun, serta membenarkan pesawah menyimpan, berkongsi dan menjual benih padi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembekal.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata isu pesawah kini bukan sekadar berkait hasil padi, sebaliknya melibatkan keadilan dalam keseluruhan rantaian pengeluaran makanan negara.
Katanya, kehadiran pesawah dan petani ke Parlimen baru-baru ini bagi menyerahkan memorandum perlu diberi perhatian serius, khususnya berkaitan isu pemotongan padi yang didakwa terlalu tinggi, tidak telus dan berlaku tanpa kawalan berkesan.
“Isu pemotongan padi ini mencipta tekanan besar kepada pesawah kerana berlaku pemotongan melampau tanpa penglibatan kerajaan dalam mengawal atau memantau perkara tersebut,” katanya.
Beliau turut menggesa kementerian memastikan monopoli pihak tertentu yang meraih keuntungan daripada keringat pesawah ditamatkan, selain menghentikan amalan pemotongan padi yang disifatkan tidak adil.
Pada 20 Januari lalu, kira-kira 200 individu terdiri daripada pesawah, petani kecil, aktivis alam sekitar dan wakil NGO berhimpun di hadapan bangunan Parlimen bagi mendesak kerajaan membatalkan penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Kesatuan Antarabangsa Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV) 1991.
Perhimpunan itu bertujuan menyerahkan dua memorandum bagi menuntut pembelaan hak petani kecil yang didakwa terancam sekiranya pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 diteruskan.
Jurucakap perhimpunan, Abdul Rashid Yob mendakwa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyerahkan draf pindaan akta tersebut kepada Sekretariat UPOV di Geneva pada September lalu.
Bagaimanapun, kerajaan setakat ini belum mengesahkan atau menafikan dakwaan penyerahan draf berkenaan. – MalaysiaGazette
















