KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkukuh peranan alumni menerusi pelaksanaan inisiatif Alumni Back To Campus selaras dengan tujahan utama yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Inisiatif itu bertujuan mengukuhkan hubungan strategik antara alumni dan universiti sekali gus menyokong agenda pembangunan pendidikan tinggi negara.
Pengarah Pusat Alumni UMT, Profesor Madya ChM Dr. Mohd Zul Helmi Rozaini berkata, alumni dilihat sebagai aset strategik universiti yang berperanan sebagai rakan pembangunan institusi, bukan sekadar bekas graduan.
Beliau berkata, pelaksanaan Alumni Back To Campus dilaksanakan secara tersusun bagi memperkukuh penglibatan alumni UMT sebagai rakan strategik universiti dalam aspek pemindahan kepakaran, pembangunan pelajar dan kelestarian institusi.
“Penglibatan alumni ini adalah sebagai mentor, pakar industri serta penyumbang kepada dana endowmen dan Rumah Wakaf Alumni mampu memberi impak langsung terhadap kebolehpasaran graduan serta kesejahteraan warga kampus,” katanya.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah pelancaran Dana Permulaan Program Alumni Fakulti dengan peruntukan sebanyak RM61,000, merangkumi pelaksanaan program perkongsian kerjaya, syarahan jemputan, program mentor–mentee serta klinik kerjaya dan keusahawanan untuk pelajar.
Selain itu, alumni UMT yang berpengalaman daripada sektor awam, swasta dan keusahawanan turut dilibatkan secara lebih sistematik sebagai mentor rasmi, pakar industri, Profesor Adjung dan Felo Industri bagi merapatkan jurang antara akademik dan keperluan industri.
Dalam aspek kelestarian kewangan universiti, Pusat Alumni UMT turut memperkasa sumbangan alumni melalui penubuhan dan pemantapan dana endowmen, penyediaan biasiswa serta bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan, termasuk menerusi Rumah Wakaf Alumni yang dilancarkan pada 2025.
“Pendekatan ini selari dengan aspirasi KPT untuk memperkasa peranan alumni dalam ekosistem pendidikan tinggi negara,” katanya.
UMT kini mempunyai tujuh alumni unggul terdiri daripada teknokrat dan usahawan yang berperanan sebagai ikon teladan serta duta universiti, di samping menyumbang kepada jaringan strategik bersama fakulti dan pihak industri.
Secara keseluruhan, inisiatif Alumni Back To Campus di UMT dilihat sebagai strategi penting dalam memperkukuh ekosistem universiti, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memastikan kelestarian institusi pendidikan tinggi. – MalaysiaGazette
















