ALOR GAJAH – Seorang lelaki warga emas maut dipercayai akibat serangan jantung sebelum motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar sebuah lori di Jalan Pekan Durian Tunggal, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Wahab Minhat, 69, dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum motosikal jenis Honda AFP110 melanggar bahagian kiri sebuah lori yang bergerak sehala dari Pekan Durian Tunggal ke Bukit Tambun.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada dan disyaki mengalami serangan jantung sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu lori berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Loh Gia Xiao di talian 019-538 2353.
Terdahulu, tular di media sosial menunjukkan kejadian seorang penunggang motosikal yang sedang bergerak lurus tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar bahagian kiri sebuah lori dari arah sama sebelum terjatuh. – MalaysiaGazette
















