KUALA LUMPUR – Isu penternakan babi di negara ini wajar diselesaikan melalui kaedah import sepenuhnya bagi mengelakkan bantahan penduduk serta masalah pencemaran bau, kata Kalam Salan (PN-Sabak Bernam).
Menurut beliau, setiap lokasi yang dicadangkan untuk membangunkan ladang babi di negara ini sering mendapat bantahan daripada penduduk setempat ekoran pelbagai isu yang timbul.
Ia sekali gus menunjukkan isu berkenaan sukar untuk diselesaikan.
“Kalau buat dekat Kuala Langat (ada) bantahan. Buat dekat Bukit Pelanduk, bantahan. Hantar ke Benut pun bantah, ke Kampung Baru Cina pun pasti bantah.
“Jadi tak payah bela, kita import sahaja,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Kalam berkata, kaedah import babi sama ada dalam bentuk babi golek atau daging potong adalah lebih praktikal, sama seperti import ayam.
Malah apa yang penting, ia mampu mengelakkan masalah bau dan konflik dengan komuniti setempat.
Beliau turut membandingkan situasi tersebut dengan Singapura yang mempunyai jumlah pemakan daging babi yang ramai namun tidak menternak haiwan itu secara besar-besaran, sekali gus lebih selamat dan terkawal dari sudut kebersihan.
Dalam pada itu Kalam menegaskan, babi itu sendiri tidak berbau, sebaliknya bau busuk berpunca daripada kandang yang tidak diselenggara dengan baik.
“Saya ada kebun, babi liar masuk 15 hingga 20 ekor sekali, memang tak busuk. Yang busuk ini kandangnya sahaja,” jelas beliau.
Mengulas sensitiviti agama, Kalam berkata meskipun beliau secara peribadi teringin mencuba pelbagai jenis makanan termasuk daging babi dan haiwan lain, namun pegangan agamanya melarang perkara tersebut.
“Agama saya tak ajar hina orang yang makan babi. Makanlah. Cuma kandangnya saja yang busuk. Jadi kita import dan tak ada masalah bau,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar isu makanan tidak dijadikan bahan perbandingan secara berlebihan kerana terdapat banyak makanan lain yang berbau kuat namun tetap digemari masyarakat.
“Budu walaupun busuk, dia sedap sebab itu kita makan. Banyak lagi yang busuk-busuk tapi sedap,” katanya. – MalaysiaGazette
















