Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat yang mengendalikan pendidikan Islam swasta, menyaman 10 pihak termasuk wartawan dan platform dalam talian kerana dakwaan menerbitkan kenyataan memfitnah berkaitan isu buli dan pemberhentian salah seorang murid di sekolah itu.

El Khawarizmi Education Sdn. Bhd. memfailkan writ saman itu melalui Tetuan Muizzuddin pada 22 Januari lalu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi (Sivil) di sini.

Sementara itu, peguam Muizzuddin Badruzzaman dan Emily Wong yang mewakili plaintif memberitahu pihak media, pengurusan kes ditetapkan pada 24 Februari ini.

Syarikat itu selaku plaintif menamakan Mohammad Safwan Abdul Rahim iaitu bapa salah seorang murid di sekolah tersebut sebagai defendan pertama.

Selain itu, plaintif menamakan The Vocket Sdn. Bhd., Rev Social Malaysia Sdn. Bhd., Rev Lifestyle Sdn. Bhd., Synchrosound Studio Sdn. Bhd. iaitu syarikat-syarikat di bawah Media Prima Group sebagai defendan kedua hingga kelima.

The Vocket mengendalikan platform media dalam talian `The Vocket’, Rev Social Malaysia (SAYS), Rev Lifestyle (Sirap Limau, Xtra dan Oh Bulan!) manakala Synchrosound Studio mengendalikan Hot FM.

Turut dinamakan sebagai defendan keenam hingga ke-10, Azam Anwar, Dania Izzati Hamdan, Nurul Nadzirah Roselan, Muhammad Kamaruddin Mohd. Razal dan Mohamad Amirul Ilyasha Mohd. Suruwan selaku wartawan yang menerbitkan kandungan bagi pihak media dalam talian yang dikendalikan oleh defendan kedua hingga kelima.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh pihak media hari ini, plaintif adalah sebuah syarikat sendirian berhad mengendalikan sebuah institusi pendidikan Islam swasta.

Plaintif menyediakan antara lain pendidikan pra-sekolah dan sekolah rendah Islam, perkhidmatan jagaan harian dan transit serta penjagaan kanak-kanak berkeperluan khas dikenali sebagai Sekolah Rendah Islam Integrasi Pintar (SRIIP) yang telah beroperasi secara berterusan sejak 2002.

Plaintif menyatakan, pada 24 Julai tahun lalu, salah seorang gurunya menerima mesej daripada isteri defendan pertama yang mendakwa bahagian sulit anaknya mengalami pendarahan dan mendakwa ditendang oleh salah seorang rakan sekelas sehingga terpaksa menjalani prosedur pembedahan.

Pada 26 Julai tahun lalu, satu pertemuan diadakan dengan kehadiran defendan pertama, abangnya dan seorang pegawai polis, pihak sekolah serta ibu bapa rakan sekelas tersebut.

Ketika pertemuan itu, plaintif mendakwa, defendan pertama menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sekolah dan selanjutnya memberi amaran bahawa sekolah boleh menghadapi kemudaratan reputasi serta kemungkinan tindakan undang-undang sekiranya situasi tersebut tidak ditangani secara memuaskan.

Defendan pertama turut didakwa menyatakan, oleh kerana pekerjaannya yang mempunyai kaitan dengan syarikat induk kepada defendan kedua hingga kelima, beliau boleh memanggil wartawan untuk melaporkan perkara tersebut secara terbuka dengan menyalahkan sekolah atas dakwaan kelewatan mengambil tindakan.

Pertemuan tersebut berakhir dengan persetujuan bahawa plaintif akan menjalankan siasatan dalaman dan bekerjasama secara profesional dengan semua pihak yang terlibat. Defendan pertama kemudian mengemukakan aduan bertulis kepada pihak sekolah pada hari yang sama.

Pernyataan tuntutan turut menyatakan, siasatan dalaman pada 29 Julai tahun lalu mendapati tiada bukti berlakunya perbuatan buli dan tiada kecuaian oleh mana-mana guru sekolah.

“Perkara itu disahkan pada tarikh didakwa kejadian berlaku (24 Julai), tiada sebarang laporan, aduan atau kecederaan yang dapat diperhatikan telah direkodkan,” demikian menurut pernyataan tuntutan.

Siasatan selanjutnya mendedahkan, defendan pertama mempunyai tunggakan yuran sekolah menyebabkan anaknya tidak dilindungi di bawah polisi takaful sekolah dan kegagalan menjelaskan yuran secara berterusan menyebabkan plaintif telah menggantung kehadiran anak defendan pertama berkuatkuasa 30 Julai tahun lalu.

Pada 4 Ogos tahun lalu, plaintif telah mengeluarkan satu surat penamatan rasmi berkuat kuasa 8 Ogos tahun lalu atas kegagalan menjelaskan tunggakan yuran berjumlah RM3,808.

Seterusnya pada 6 Ogos tahun lalu, plaintif mengeluarkan satu lagi surat pemakluman mengenai dapatan siasatan tersebut serta menegaskan bahawa penamatan persekolahan kanak-kanak tersebut adalah selaras dengan dasar sekolah berhubung kegagalan membayar yuran dan ketidaklayakan perlindungan takaful.

Surat itu menjelaskan bahawa sekolah tidak menanggung sebarang liabiliti terhadap apa-apa rawatan perubatan atau tuntutan perbelanjaan yang timbul daripada insiden yang didakwa tersebut.

Susulan itu, plaintif mendakwa, defendan pertama telah mengeluarkan kenyataan memfitnah di antara 9 September tahun lalu dan keesokannya yang kemudian diterbitkan semula di platform dalam talian defendan kedua hingga kelima dengan memberikan naratif palsu yang kemudian diterbitkan semula oleh defendan keempat.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif menyatakan kenyataan memfitnah itu, difahami membawa maksud ia membenarkan dan memberi toleransi terhadap perbuatan buli di premisnya.

Kenyataan itu juga didakwa membawa maksud plaintif gagal mengambil sebarang tindakan tatatertib terhadap `pembuli’, sekaligus menyembunyikan salah laku dalam sekolah.

Selain itu, kenyataan tersebut membawa maksud plaintif bertindak secara tidak adil dan tidak profesional
dengan menggantung dan menamatkan persekolahan
mangsa selain membenarkan pelaku yang didakwa terus menghadiri kelas tanpa sekatan.

Plaintif menyatakan, akibat langsung ekoran penyebaran penerbitan itu menyebabkan pihaknya mengalami kerosakan reputasi yang serius dan berterusan.

“Ramai ibu bapa tampil dan menghubungi plaintif dengan menyuarakan kebimbangan, ketidakpercayaan dan kekeliruan berhubung insiden `buli’ yang didakwa,” ujarnya.

Mereka turut mempersoalkan komitmen plaintif terhadap keselamatan dan kebajikan para pelajarnya, walaupun plaintif tidak dinamakan secara nyata memandangkan
rujukan tersebut jelas difahami sebagai ditujukan kepada institusi plaintif.

Ujar plaintif, pihaknya mengalami kehilangan keyakinan yang serius dalam kalangan komuniti sekolahnya sekali gus
menjejaskan nama baik, kredibiliti dan kepercayaan yang telah lama terbina dengan ibu bapa, pelajar, pendidik, pihak berkepentingan serta orang awam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast