Mohamed Khaled (tiga dari kiri) menyampaikan simbolik peruntukan sebanyak RM50,000 pembinaan pagar di kawasan Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najwan, Cheng, Melaka hari ini.

MELAKA – Sebanyak 17 projek membabitkan peruntukan keseluruhan hampir RM1 juta akan dilaksanakan di Melaka tahun ini menerusi konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan komuniti secara gotong-royong.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara projek pertama  tahun ini ialah pembinaan pagar di kawasan Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najwan, Cheng dengan peruntukan sebanyak RM50,000

“Di Melaka sahaja, sebanyak 17 projek dilaksanakan dengan jumlah peruntukan RM850,000 dan kesemuanya berkonsepkan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat secara langsung.

“Ia akan dilaksanakan melalui gotong-royong antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penduduk setempat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Jiwa MADANI (PJM) Kementerian Pertahanan 2026 di masjid berkenaan, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Paya Rumput merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Mohamed Khaled Nordin

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, inisiatif ini bukan sekadar bantuan fizikal, malah merupakan simbolik kebersamaan antara angkatan tentera dan rakyat selaras dengan gagasan Malaysia Madani.

Pendekatan gotong-royong itu, jelasnya bukan sahaja menjimatkan kos, malah berperanan membudayakan penglibatan rakyat dalam aspek keselamatan negara.

“Kita mahu peranan masyarakat dalam menjaga keselamatan tanah air ini dibudayakan. Rakyat perlu menjadi mata dan telinga kepada Angkatan Tentera.

“Manakala ATM pula sedar tanggungjawab mempertahankan negara tidak mampu dilaksanakan secara berkesan tanpa penyertaan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, semua peruntukan bagi proejek HANRUH dibiayai sepenuhnya oleh ATM sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerjasama awam dan ketenteraan di peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled memaklumkan Kementerian Pertahanan (Mindef) turut menyediakan peruntukan RM6 juta bagi membolehkan kerajaan negeri melaksanakan projek berskala kecil secara gotong-royong bersama ATM di seluruh negara.

“Jika satu projek bernilai RM200,000 dibuat menggunakan kontraktor, mungkin hanya satu projek dapat dilaksanakan.

“Tetapi melalui gotong-royong dengan kerjasama ATM, peruntukan sama berpotensi melahirkan sehingga tiga projek yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast