KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan agar menaikkan had umur persaraan Ketua Hakim Negara kepada 70 tahun bagi memastikan hakim-hakim yang berwibawa dan berkeupayaan terus diberi peluang berkhidmat demi kepentingan institusi kehakiman negara.
Beliau berkata, isu itu pernah dibangkitkan tahun lalu apabila Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan, mengapa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibenarkan melanjutkan kontrak perkhidmatan, sedangkan mantan Ketua Hakim Negara tidak diberikan lanjutan walaupun masih berkeupayaan.
Menurutnya, keupayaan mantan Ketua Hakim Negara itu kini terbukti apabila beliau dilantik sebagai Profesor Ikhtisas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Jika kita melihat kepada United Kingdom, had umur perkhidmatan kehakiman adalah melebihi 70 tahun, begitu juga di beberapa negara lain. Hakim-hakim yang berwibawa seperti ini wajar diberikan peluang untuk terus berkhidmat,” katanya ketika membshkan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa Tun Tengku Maimun Zaki dinafikan lanjutan perkhidmatan pada tahun lalu walaupun masih mampu menyumbang kepada sistem kehakiman negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Ahmad Fayhsal turut membangkitkan persoalan berhubung pelantikan Tan Sri Terrirudin Salleh ke dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Beliau berkata, isu tersebut telah dikemukakan kepada Ahli Parlimen Tambun, namun dakwaan-dakwaan yang bocor berhubung minit mesyuarat JAC masih belum dijawab, khususnya berkaitan isu yang dikaitkan dengan Tan Sri Terrirudin.
“Oleh itu, saya memohon penjelasan daripada pihak kerajaan berhubung sebab dan justifikasi pelantikan Tan Sri Terrirudin ke dalam JAC,” katanya. – MalaysiaGazette
















