Tertuduh, Mohamad Ghazali Maidin, 47, didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri beberapa barangan termasuk susu tepung dan syampu milik sebuah pusat beli belah minggu lalu.

MELAKA – Seorang pengawal keselamatan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri beberapa barangan termasuk susu tepung dan syampu milik sebuah pusat beli belah di sini minggu lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Mohamad Ghazali Maidin, 47, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencuri dua pek susu tepung Nestle Everyday FMP Softpack 1.7 kilogram(kg), dua botol syampu Sunsilk (625 mililiter) dan sebotol pencuci pakaian Top (3.6 kg) bernilai RM131.50 milik Aeon Co (M) Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pusat beli-belah Aeon Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah, sekitar jam 10.30 pagi 21 Januari lalu.

Perbuatan tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya jika disabit mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkannya mengambil barang di bahagian pasar raya menggunakan troli.

Tertuduh kemudian menolak troli berkenaan keluar melalui pintu tingkat satu dan membawa pulang barangan dengan motosikal tanpa membuat bayaran.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal, manakala pihak pembelaan peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu hukuman minimum.

Peguam memberi alasan tertuduh yang mempunyai empat anak mencuri kerana terdesak akibat kesempitan hidup.

Selepas meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan Majistret Sharda menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara satu bulan sekiranya gagal bayar. Tertuduh membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast