Tangkap layar menunjukkan sekumpulan lelaki menyamar sebagai pegawai imigresen sebelum melakukan kegiatan samun bersenjata di Bukit Tengah, Pulau Pinang baru-baru ini.

BUKIT MERTAJAM – Polis menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata yang menyamar sebagai pegawai imigresen susulan penahanan dua lelaki tempatan di Kuala Lumpur, pada 18 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, tangkapan dibuat susulan satu kejadian samun berlaku kira-kira jam 10.30 pagi di sebuah rumah di Ladang Chip Joo, Bukit Tengah di sini, pada 13 Januari lalu.

Jelas beliau, pengadu, seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun memaklumkan enam suspek lelaki berpakaian gelap dan memakai pelitup muka menaiki sebuah kereta Proton X70 telah berhenti di rumahnya.

“Lima daripada suspek telah masuk ke rumah mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen sebelum menggeledah rumah tersebut.

“Suspek kemudian bertindak mengacukan sebilah parang sebelum melarikan barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Helmi, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bersama Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seberang Perai Tengah telah menjalankan serbuan di dua lokasi berasingan di Bukit Jalil dan Ampang, Kuala Lumpur.

“Suspek pertama, seorang lelaki berusia 38 tahun ditangkap di sebuah residensi di Bukit Jalil manakala suspek kedua, seorang lelaki berusia 31 tahun ditangkap di Ampang.

“Pihak polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton X70 berwarna putih yang dipercayai digunakan semasa kejadian, selain beberapa buah telefon bimbit, pakaian dan aksesori yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

“Hasil semakan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau dalam kes jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Mengulas lanjut Helmi berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan kedua-dua suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Rabu ini.

“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bersama-sama empat lagi suspek yang masih bebas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Inspektor Fakhrul Aiman di talian 016 337 4941 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast