KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu mengakui pengundi baharu yang berusia 18 tahun ke atas akan menjadi cabaran utama kepada parti gabungan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana pertambahan golongan itu seramai 500,000 pengundi setiap tahun menuntut perubahan besar oleh BN menerusi strategi bijak.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, dengan anggaran 2.5 pengundi baharu menjelang PRU16, BN perlu menggunakan pendekatan secara digital dalam tempoh 22 bulan sebelum penggal berakhir.
“Pengundi berumur 18 tahun setiap tahun kohotnya adalah setengah juta pengundi setiap tahun.
“Untuk tahun ini dan tahun depan, kita lihat umpamanya kalau kita ambil maksimum 22 bulan tentunya kita akan ambil jumlah 500,000 pengundi kali dengan lima tahun. Ertinya tambahan 2.5 juta pengundi baharu yang menjadi pengundi pertama kali.
“Dalam keadaan itu, strateginya harus berubah untuk kita melakukan pendekatan bukan konvensional tetapi kaedah-kaedah baru secara digital wajib dilakukan kerana mustahil untuk kita dekatai seluruh 2.5 juta secara komunikasi berdepan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama BN Forum ke-9: Model Baharu Barisan Nasional, Antara Tradisi Politik & Tuntutan Perubahan di Auditorium Menara Dato Onn di sini malam ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kelemahan utama BN sebelum ini adalah terlalu menjadi defensif dan tidak menyerang pihak lawan secara agresif.
Malah jelas beliau, cara menyerang BN juga tidak menyakinkan pengundi kerana tidak berjaya mengelirukan parti yang telah membuat serangan.
“Sebaliknya apa yang terjadi kepada kita, bukan orang yang kita tujukan jadi keliru.
“Tetapi kita sendiri yang menjadi keliru dan ini harus dielakkan. Selain itu perubahan perlu dibuat jika kita tidak dapat menjadi mereka, kita sertai mereka,” katanya.
Ahmad Zahid menambah, susunan strategi dan beberapa gerakan taktikal harus dilakukan BN bukan hanya untuk mengekalkan 30 kerusi Parlimen yang dimiliki ketika ini sebaliknya bagi memastikan jumlah itu dapat bertambah. – MalaysiaGazette

















