Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan

PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukan RM3.1 juta bagi Fasa Pertama Program Dharma Madani kepada 155 kuil komuniti India di seluruh negara bagi memperkasa institusi rumah ibadat Hindu.

Program itu merupakan inisiatif Kerajaan Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melibatkan peruntukan keseluruhan RM20 juta bagi membantu 1,000 rumah ibadat Hindu berdaftar melalui bantuan sekali beri. 

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, menerusi program berkenaan, setiap kuil yang layak akan menerima RM20,000 sebagai sokongan kewangan bagi memperkukuh peranan institusi keagamaan sebagai teras pembangunan komuniti India.

“Program ini mensasarkan penyertaan 1,000 buah rumah ibadat Hindu berdaftar di seluruh negara, dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

“Melalui program ini, bantuan kewangan berjumlah RM20,000 akan disalurkan kepada setiap rumah ibadat yang layak,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Penyerahan Surat Pemakluman Program Dharma Madani di Menara Perkeso, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah MITRA G. Prabagaran dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Dr. Mohd Shaharin Umar.

Tambah Ramanan lagi, pelaksanaan serta kelulusan bantuan di bawah Program Dharma Madani akan dibuat secara berperingkat dan berfasa, dengan senarai penerima diumumkan dari semasa ke semasa menerusi laman sesawang rasmi MITRA.

“Saya berharap agar para pengerusi dan wakil pengurusan kuil yang hadir pada hari ini akan memanfaatkan peruntukan yang disalurkan dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan prinsip tatakelola yang baik, serta memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh komuniti India setempat,” katanya.

Sejak pendaftaran dibuka, sebanyak 915 permohonan telah diterima dan diteliti oleh Mitra selaras dengan tatakelola serta peraturan yang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast