KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas kira-kira RM3.19 bilion dadah dan racun sepanjang tahun lalu, kenaikan hampir lapan kali ganda berbanding RM388 juta tahun sebelumnya.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, sepanjang tempoh itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya melumpuhkan 270 sindiket dan menahan 737 ahli-ahlinya berbanding 236 sindiket dan 714 tangkapan pada 2024.
Selain itu, PDRM juga berjaya membongkarkan 55 makmal haram tahun lalu berbanding 44 pada tahun sebelumnya, kata beliau ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran JSJN, di Bukit Aman hari ini.

Tambah Khalid, sepanjang tempoh itu, JSJN menyita aset bernilai kira-kira RM144 juta dan melucuthakkan harta hampir RM31 juta.
“Angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding 2024 yang mencatatkan sitaan sekitar RM100 juta dengan pelucuthakkan hampir RM14 juta,” tambahnya.
Bagaimanapun, jumlah tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 menurun kepada 811 berbanding 1,111 pada tahun 2024, susut 27 peratus.
“Data statistik pada 2025 jelas mempamerkan komitmen dan keberkesanan operasi serta risikan JSJN dalam memerangi ancaman dadah.
“Semua kejayaan itu bukan sahaja menunjukkan peningkatan kapasiti operasi dan risikan, malah membuktikan usaha berterusan dalam melindungi generasi masa kini dan akan datang daripada cengkaman dadah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















