Majlis Menandatangani MoU antara SPRM dan UAEAA dimeterai oleh Ketua Pesuruhajaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bersama Pengerusi UAEAA, Humaid Abushibs dan disaksikan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim di Abu Dhabi pada Ahad lalu.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhasrat menghantar pegawai ke United Arab Emirates Accountability Authority (UAEAA) bagi mempelajari dan mendalami kepakaran agensi itu khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) termasuk aplikasi teknologi dalam analisis kewangan dan siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM juga bersedia menawarkan bantuan dan kerjasama kepada UAEAA dalam apa jua bidang diperlukan, termasuk aspek penguatkuasaan, perisikan dan pencegahan rasuah.

Katanya, perkara itu dicapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama UAEAA sebagai manifestasi komitmen bersama kedua-dua agensi memperkukuh intergriti dan akauntibiliti dalam usaha pencegahan rasuah.

Tambahnya, kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pertukaran maklumat, pembangunan kapasiti, perkongsian kepakaran serta amalan terbaik dalam pencegahan dan pembanterasan rasuah, selaras dengan standard dan amalan antarabangsa.

Dalam pada itu, kerjasama tersebut dijangka menyumbang kepada pengukuhan keupayaan agensi kedua-dua pihak dalam menangani isu tadbir urus, meningkatkan integriti sektor awam serta menyokong agenda pembangunan mampan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis Menandatangani MoU antara SPRM dan UAEAA dimeterai oleh Azam serta Pengerusi UAEAA, Humaid Abushibs dan disaksikan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim di Abu Dhabi pada Ahad lalu.

Kedua-dua pihak menzahirkan penghargaan terhadap hubungan erat Malaysia dan UAE yang terjalin sejak sekian lama dan terus berkembang dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi serta tadbir urus menjadi asas penting kepada peluasan kerjasama antara SPRM dan UAEAA menghadapi cabaran semakin kompleks dan bersifat rentas sempadan.

Terdahulu Azam mengadakan pertemuan dengan Humaid Abushibs bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan kerjasama antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) khususnya dalam bidang pengurusan integriti, pencegahan rasuah, audit, akauntabiliti sektor korporat serta penggunaan teknologi dalam penguatkuasaan.

UAEAA adalah badan tertinggi akauntabiliti dan ketelusan di UAE yang melapor secara langsung kepada kepimpinan tertinggi negara dengan peranan utama untuk melindungi dana awam serta meningkatkan tahap akauntabiliti melalui dua sektor utama iaitu sektor pencegahan rasuah dan sektor audit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast