Rahmad Mariman

MELAKA –  Jawatankuasa Tadbir Urus (JKTU) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menerima surat peletakan jawatan Setiausaha Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru yang disyaki menonton video lucah dalam pejabat masjid minggu lalu .

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat JKTU yang membincangkan isu tersebut pagi tadi.

Menurutnya, lelaki berusia 70-an itu turut dipecat bagi jawatan Pengerusi Surau Kampung Paya Ikan yang mana kedua-dua pelantikan itu berada di bawah bidang kuasa JAIM.

“Hasil mesyuarat JKTU tadi memutuskan menamatkan perkhidmatan beliau selaku setiausaha masjid dan juga Pengerusi Surau Kampung Paya Ikan.

“Penamatan perkhidmatan itu dibuat berdasarkan penerimaan surat peletakan jawatan oleh individu berkenaan yang diterima JAIM,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Pada 21 Januari lalu, MalaysiaGazette melaporkan tular sebuah video berdurasi 1 minit 59 saat didakwa setiausaha masjid berkenaan yang turut dikaitkan dengan sebuah parti politik sedang leka menonton video lucah menerusi komputer meja dalam pejabat masjid.

Rakaman pada 27 Disember 2025 itu diambil Imam 3 Masjid Al-Ehsan, Muhammad Adhan Adnan, 26, yang turut disaksikan dua individu lain sebagai rujukan dalaman AJK masjid dan JAIM sahaja dan bukannya untuk disebarkan kepada umum.

Ia bagaimanapun tular minggu lalu mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengecam perbuatan mendedahkan identiti serta aib suspek dan sepatutnya diselesaikan mengikut saluran undang-undang.

Susulan itu, Muhammad Adhan kemudian membuat laporan polis dan melepaskan jawatannya itu berkuat kuasa 21 Januari lalu selepas menerima arahan daripada pengerusi masjid berhubung isu itu.

Mengulas tindakan terhadap Imam 3 itu, Rahmad berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Masjid Al-Ehsan kerana pelantikan beliau bukan di bawah kuasa JAIM.

“Imam 3 itu dilantik oleh jawatankuasa masjid dan elaunnya juga dibayar oleh jawatankuasa masjid, jadi, terpulang kepada mereka sama ada mahu menerima atau menolak peletakan jawatan beliau,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, pihaknya tidak mengetahui identiti individu yang menyebarkan video tersebut namun laporan polis telah dibuat oleh Imam 3 berkenaan dan siasatan lanjut diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Siapa yang menyebarkan video itu, saya tidak tahu, tapi saya difahamkan laporan polis telah dibuat dan sekiranya ada unsur jenayah, kita serahkan kepada pihak polis,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmad menggesa orang ramai agar menghentikan sentimen berlebihan berhubung isu tersebut memandangkan tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa.

“Perkara sebegini memang tidak sewajarnya berlaku, apatah lagi di kawasan masjid yang merupakan tempat ibadah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast