KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan semakin stabil apabila beliau dibenarkan keluar secara singkat oleh pegawai perubatan Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.
Menurut kenyataan Pejabat Tun Dr Mahathir, beliau dibawa oleh pegawai-pegawai perubatan IJN ke sebuah kafe yang terletak di dalam pusat membeli-belah Pavilion, Bukit Damansara.
Dr. Mahathir hadir ditemani isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib serta beberapa pegawai perubatan dari institut berkenaan.
“Dr Mahathir yang memilih untuk menikmati segelas ‘ice chocolate’ bagi ‘outing’ pertamanya sejak dimasukkan ke IJN pada 6 Januari bagi rawatan dan pemulihan selepas terjatuh di kediamannya di The Mines, yang mengakibatkan tulang pinggul kanan beliau patah’,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan oleh pegawai pejabatnya, Sufi Yusoff.
Lawatan singkat tersebut mengambil masa kira-kira 40 minit dan merupakan aktiviti luar pertama beliau sejak menerima rawatan di IJN.
Selepas selesai lawatan berkenaan, Dr. Mahathir dibawa semula ke IJN untuk meneruskan rawatan lanjut.
Menurut kenyataan itu, Dr. Mahathir masih belum dibenarkan pulang ke rumah dan akan terus menerima rawatan di IJN buat masa ini.
“Lawatan masih lagi terhad kepada keluarga terdekat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial sekeping gambar yang menunjukkan Tun Dr Mahathir dilihat menikmati minuman di sebuah gedung beli-belah di Damansara, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai status kesihatannya.
Sebelum ini, dimaklumkan proses pemulihan Dr. Mahathir dijangka mengambil masa berikutan faktor usia, dengan rawatan fisioterapi dipilih tanpa melalui sebarang pembedahan selepas beliau mengalami patah tulang pinggul akibat terjatuh pada 6 Januari lalu. – MalaysiaGazette
















