KUANTAN – Seorang guru besar didenda RM3,500 di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini selepas didapati bersalah menggunakan dokumen tuntutan palsu berkaitan projek kertas kerja keceriaan sekolah pada empat tahun lepas.
Ruslinah Mohamed Kaseh, 56, sebelum itu menukar pengakuan kepada bersalah bagi dua daripada empat pertuduhan pilihan selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP (Felda) Bukit Kuantan itu telah mengemukakan kepada Kementerian Pendidikan empat dokumen pembekalan berkaitan projek keceriaan sekolah berjumlah keseluruhan RM4,126 milik syarikat Teras Maju Logistik yang mengandungi butiran matan palsu sedangkan pembekalan tidak dibuat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Ruslinah pada 9 Disember 2022 di SK LKTP (Felda) Bukit Kuantan.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) Akta sama.
Manakala bagi empat pertuduhan pilihan pula, Ruslinah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.
Pegawai Pendakwa Raya, Ab Azim Ismail memohon agar Mahkamah mengenakan denda setimpal terhadapnya agar ia dijadikan pengajaran, namun Peguamnya, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman melalui mitigasi menjelaskan mengenai situasi semasa Ruslinah yang perlu menanggung enam ahli keluarga.
“Beliau berusia 56 tahun dan akan bersara tahun depan, menjadi seorang guru besar bermula tahun 2017. Anak guam saya menanggung empat orang anak berusia lingkungan 16 tahun sehingga 28 tahun dengan separuh gaji sejak bulan Julai 2025.
“Dia juga menanggung seorang ibu berusia 79 tahun yang menghidap sakit tua dengan bacaan kolesterol tinggi dan mempunyai sakit saraf. Selain itu dia juga menanggung adik ipar yang menghidap syndrome down dengan bulanan sebanyak RM300.
“Suaminya juga merupakan seorang guru, mempunyai sabitan kesalahan jenayah dan kini dalam proses rayuan. Suaminya tidak mempunyai gaji sejak tahun 2024,” katanya dalam mitigasi.
Setelah mempertimbang pengakuan bersalah dan rayuan mitigasi peguambelanya, Hakim Sazlina memutuskan hukuman denda RM2,000 serta penjara lima bulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pilihan kedua dan RM1,500 serta penjara lima bulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pilihan keempat.
Manakala baki dua lagi pertuduhan diambil pertimbangan selaras peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah. – MalaysiaGazette
















