Zambry.

GEORGE TOWN – Kerajaan akan membuat keputusan berkaitan isu pendidikan, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dengan mengambil kira keseluruhan landskap sistem pendidikan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebarang pertimbangan berkaitan pengiktirafan UEC perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana ia berkait dengan keseluruhan sistem pendidikan di luar kurikulum kebangsaan.

Katanya, perbezaan pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak akan diambil maklum, namun kerajaan akan menilai perkara itu secara menyeluruh sebelum membuat keputusan demi kepentingan awam.

“Tak apalah, masing-masing ada pandangan, dia akan bagi pandangan masing-masing. Tetapi yang paling besar, apabila kerajaan membuat keputusan, kerajaan telah mengambil kira semua aspek itu,” katanya selepas menghadiri Program Kembara Karisma Pemimpin Muda MADANI di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Zambry pada Program Kembara Karisma Pemimpin Muda MADANI di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, perkara berkaitan pendidikan telah disentuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keperluan penguasaan bahasa Melayu dan pemahaman Sejarah dalam semua aliran pendidikan, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta institusi yang tidak mengikuti kurikulum nasional.

“Apa yang disebut oleh Perdana Menteri adalah mencakupi keseluruhan sistem pendidikan, bukan terhad kepada UEC semata-mata.

“Dalam hal ini, kita bercakap tentang keperluan bahasa Melayu dan Sejarah bagi semua sistem persekolahan yang tidak berasaskan kurikulum kebangsaan semata-mata,” ujar beliau.

Katanya, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dan bersepadu dengan memastikan semua kementerian serta pihak terlibat berada pada landasan yang sama sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Kita tidak mahu saya (KPT) buat keputusan lain, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) pun buat keputusan lain. Sebab itu, perbincangan telah diadakan dengan pelbagai pihak termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan pihak berkaitan UEC,” katanya.

Terdahulu 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Melayu menggesa kerajaan memansuhkan secara kekal draf Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang telah ditarik balik dan membantah sebarang rancangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) secara rasmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast