Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan bergambar kenangan bersama Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin (kiri) serta yang lain pada Pelancaran Laporan Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah di Petaling Jaya. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JANUARI 2026.

PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan menggesa umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan seruan yang mengajak memboikot pembayaran zakat dan pelaksanaan wakaf di Selangor susulan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4, Shah Alam.

Tegasnya, umat Islam perlu mengambil pendekatan yang lebih rahmah dengan menumpukan usaha ke arah kebaikan dan menghindari ajakan yang boleh menjejaskan kepentingan masyarakat.

“Kita perlu perbanyakkan usaha ke arah yang baik. Oleh itu, apa-apa ajakan seperti itu perlu dihindari,” katanya ketika diminta mengulas isu berkenaan di sini hari ini.

Zulkifli sebelum itu merasmikan Laporan Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah 2025 (IMNR 2025).

Dalam masa sama,, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin juga menyifatkan tindakan menghasut umat Islam memboikot pembayaran zakat sebagai tidak bertanggungjawab dan berpotensi menjejaskan kesejahteraan golongan asnaf di negeri ini.

Beliau berkata, gesaan berkenaan dikesan tular di media sosial yang mengajak orang ramai tidak membayar zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta menghentikan pelaksanaan wakaf di Selangor sekali gus boleh mengelirukan masyarakat Islam.

Terdahulu, Zulkifli dalam ucapannya mahu umat Islam di negara ini memperkukuh pemikiran yang maju, progresif dan dinamik berlandaskan maqasid syariah serta nilai rahmah bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha membentuk dan membudayakan pemikiran umat Islam yang mengajak kepada kebaikan, bersifat inklusif serta tidak cenderung kepada sikap marah dan negatif.

Menurutnya, Malaysia telah mencatat pelbagai kejayaan dalam pengurusan dan pentadbiran Islam termasuk pengurusan halal, haji dan wakaf, namun tahap pemikiran masyarakat masih perlu diperkasakan.

“Namun ada satu perkara yang pada saya masih belum mencapai tahap yang kita inginkan, iaitu tahap pemikiran rakyat. Oleh itu, kerajaan sedang berusaha membawa dan mencipta pemikiran umat Islam yang rahmah, yang bukan marah-marah,” katanya.

Terdahulu, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melancarkan IMNR 2025 yang merekodkan peningkatan skor kepada 7.42 bagi tahun 2025 berbanding 7.24 pada 2023, sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha membudayakan nilai rahmah dalam masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast