Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tiada isu kehilangan data MyKasih dan Budi Madani 95 sekiranya rakyat Malaysia menukar kad pengenalan baharu (MyKad), sebaliknya perkara itu hanya melibatkan isu sementara dan bersifat teknikal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemungkinan berlaku situasi padanan data tidak dapat dikesan oleh sistem bantuan sekiranya penerima menggunakan MyKad baharu dalam tempoh peralihan sebelum kemas kini nombor versi MyKad dibuat sepenuhnya dalam sistem Kementerian Kewangan (MOF).

Namun beliau menegaskan keadaan itu tidak bermaksud data peribadi pemegang MyKad telah hilang atau dipadam daripada sistem kerajaan.

“Kementerian ingin menegaskan bahawa isu ini bersifat sementara dan teknikal, melibatkan perbezaan kitaran kemas kini data antara agensi, dan bukannya kehilangan data MyKad atau kelayakan bantuan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menurut Saifuddin, setiap kali urusan pertukaran MyKad dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), nombor versi MyKad yang tertera di bahagian belakang kad akan berubah, namun maklumat asas pengenalan diri pemegang kekal tidak berubah.

“Bagaimanapun, segala maklumat asas pengenalan diri, termasuk nombor MyKad dan rekod kewarganegaraan, kekal konsisten serta tidak pernah dipadamkan,” jelasnya.

Bagi memastikan penyelarasan maklumat antara agensi, beliau berkata JPN membekalkan rekod perubahan data, termasuk nombor versi MyKad baharu, kepada MOF secara harian.

“Ini bagi membolehkan sistem peringkat MOF dikemas kini selewat-lewatnya pada hari bekerja berikutnya sekali gus memastikan kesinambungan data pemegang MyKad sentiasa teratur,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, bagi pelaksanaan inisiatif bantuan kerajaan seperti MyKasih dan Budi Madani 95, kemas kini data di peringkat sistem MOF dibuat secara berkala iaitu mingguan dan bulanan.

Susulan itu, KDN menegaskan sebarang gangguan padanan data yang mungkin berlaku hanyalah sementara dan tidak menjejaskan kelayakan penerima bantuan.

Saifuddin berkata, kerjasama berterusan antara JPN dan MOF akan terus diperkukuh bagi memastikan penyelarasan data yang lebih efisien serta kelancaran pelaksanaan inisiatif bantuan kerajaan kepada rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast