GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasa agenda pengantarabangsaan melalui pendekatan bersepadu berteraskan pembelajaran berasaskan pengalaman, keterangkuman dan kemampanan selaras Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 hingga 2035.
Pendekatan berkenaan dilaksanakan melalui pemanfaatan Edutourism sebagai instrumen strategik untuk memperkaya pengalaman akademik pelajar antarabangsa, khususnya menerusi program mobiliti serta pengajian jangka pendek.
Naib Canselor USM, Prof Datuk Seri Ir Dr. Abdul Rahman Mohamberkata, lokasi USM di Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO menyediakan ekosistem pembelajaran yang unik dengan menggabungkan kekuatan akademik, warisan budaya, sejarah dan kepelbagaian komuniti setempat.
Katanya, pendekatan itu membolehkan pembelajaran rentas budaya dilaksanakan secara autentik dan kontekstual, sekali gus melangkaui pembelajaran konvensional di bilik kuliah.
“Pendekatan ini menyokong pembentukan pemahaman global, pemindahan ilmu serta pembinaan jaringan akademik antarabangsa yang lebih bermakna.
“Bagi memastikan peluasan Edutourism dan mobiliti pelajar antarabangsa dapat dilaksanakan secara tersusun dan mampan, USM melaksanakan inisiatif ‘Mobility Matching Fund’ (MOMAF) sebagai mekanisme pembiayaan padanan bagi memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan universiti antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, MOMAF menyokong pelaksanaan pelbagai program mobiliti termasuk kursus jangka pendek, lawatan akademik, pertukaran pelajar serta kolaborasi institusi secara lebih sistematik.
Beliau berkata, inisiatif itu turut membuka peluang kepada pelajar tempatan untuk memperoleh pendedahan antarabangsa, meningkatkan kefahaman antara budaya serta membina keupayaan berinteraksi dalam persekitaran global.
“Pendekatan Internationalization@Home turut diintegrasikan bagi melengkapi mobiliti fizikal, sekali gus memastikan manfaat pengantarabangsaan dapat dinikmati secara lebih inklusif.
“Menerusi pembabitan pelajar antarabangsa dalam ekosistem kampus serta pelaksanaan aktiviti akademik dan kokurikulum yang mengandungi elemen global dan konteks tempatan, pengalaman antarabangsa dapat dibawa secara langsung ke dalam persekitaran pembelajaran harian di USM,” katanya.
Menurut beliau, secara keseluruhan penyelarasan antara Edutourism, MOMAF dan Internationalization@Home membentuk ekosistem pengantarabangsaan yang saling melengkapi serta berdaya tahan.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen USM pasca RPTM dalam menyokong aspirasi RPTM 2026 hingga 2035 untuk memposisikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa yang berkualiti, inklusif dan mampan,” katanya. – MalaysiaGazette















