KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) tidak akan menyebabkan warga emas, golongan miskin dan penduduk luar bandar tercicir.
Mereka boleh mendapatkan minyak masak paket bersubsidi khususnya mereka yang tidak mempunyai akses internet, kata menteri, Datuk Armizan Mohd Ali.
Menurutnya, pihaknya telah membangunkan eCOSS bagi menambah baik pengurusan minyak masak kemasan paket bersubsidi satu kilogram melalui pendigitalan rantaian pengedaran.
“KPDN telah membangunkan sistem bagi menambah baik pengurusan minyak masak kemasan paket bersubsidi 1 kilogram melalui pendigitalan yang dikenali sebagai Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS),” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN–Kuala Krai) mengenai keberkesanan eCOSS dalam pengagihan minyak masak paket bersubsidi kepada warga emas dan golongan miskin di luar bandar tanpa kemudahan internet di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Armizan, antara fungsi utama eCOSS ialah mendaftarkan semua pihak dalam rantaian pengedaran termasuk kilang penapis, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit selain merekodkan transaksi jual beli minyak masak daripada peringkat pengeluaran hingga ke peruncit.
Bagi fasa pertama bermula 1 Januari 2023, semua syarikat kilang penapis dan pembungkusan yang terlibat dalam Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) diwajibkan merekodkan transaksi ke dalam sistem eCOSS sebagai syarat melayakkan tuntutan bayaran balik subsidi.
“Ini adalah syarat melayakkan mereka membuat tuntutan bayaran balik subsidi, dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan bayaran tuntutan subsidi yang dikemukakan tidak diluluskan oleh kementerian,” katanya.
Beliau berkata, fasa kedua pelaksanaan melibatkan pembangunan Aplikasi Mobile eCOSS bagi melengkapkan rekod transaksi sehingga ke peringkat pengguna di mana setiap pembelian minyak masak paket bersubsidi perlu direkodkan melalui imbasan kod QR.
Namun KPDN menyedari kebimbangan pelaksanaan aplikasi itu terhadap warga emas, golongan miskin dan penduduk luar bandar yang tidak mempunyai capaian internet.
“Atas sebab itu, pelaksanaan penggunaan aplikasi Mobile eCOSS diperluaskan secara berperingkat bermula Mei 2025 dan pada peringkat rintis ini, pembelian melalui kaedah manual masih dibenarkan,” jelasnya.
Selain itu, katanya, kaedah pembelian manual atau bersesuaian akan dikenal pasti secara bersasar di premis peruncitan terpilih yang belum mempunyai kemudahan internet selain bantuan khusus oleh peruncit kepada warga emas dan golongan miskin.
KPDN turut merancang mengintegrasikan eCOSS dengan platform MyKasih bagi membolehkan pembelian menggunakan Kad Pengenalan, selaras Program SARA, bagi memastikan subsidi minyak masak benar-benar dimanfaatkan rakyat serta mengekang ketirisan akibat penyelewengan dan penyeludupan. – MalaysiaGazette
















