Akmal Nasrullah semasa taklimat mengenai media FEM 2026 di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 akan menjadi platform untuk menilai pelaksanaan kemajuan dasar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, forum itu tidak akan mengumumkan inisiatif baharu kementerian kerana ia lebih bertujuan untuk memberikan gambaran jelas tentang dasar sedia yang sedang dilaksanakan di sebalik persekitaran global yang mencabar termasuk ketegangan geopolitik dan kemelut ekonomi.

Beliau menjelaskan, daripada berkongsi dasar baharu, perbincangan di FEM 2026 akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan hasil yang dinikmati.

“Ia terutamanya dalam bidang strategik seperti peralihan tenaga, perumahan, infrastruktur dan pembangunan ekonomi serantau.

“Inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan dibincang bagi mengkaji semula dari segi kelulusan pelaburan, kesediaan operasi dan keupayaan untuk menterjemahkan komitmen kepada aktiviti ekonomi sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media FEM 2026 di kementeriannya di sini hari ini.

FEM 2026 dijadualkan berlangsung pada 5 Februari depan dengan tema Accelerating Growth, Advancing Malaysia.

Forum itu dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akmal menambah, walaupun dijangka tiada pengumuman dasar utama di forum itu, beliau tidak menolak kemungkinan perkembangan terkini tentang kemajuan, peristiwa penting dan sasaran tahun ini akan dikongsi.

Beliau turut membayangkan sebarang pelan tindakan baharu termasuk berkaitan dengan pembangunan wilayah akan dilancarkan secara berasingan.

“Fokus FEM 2026 akan membincangkan secara strategik bagi mengenal pasti kaedah dalam melaksanakan program dan projek pembangunan sosioekonomi negara di bawah RMK13 serta membincangkan isu dan cabaran bagi mencapai pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

“Fokus lain adalah pertumbuhan ekonomi untuk mewujudkan platform perkongsian pengalaman dan amalan terbaik daripada penggubal dasar, pemain industri, pelabur dan ahli akademik tempatan dan antarabangsa serta membentuk naratif yang koheren berkaitan strategi pembangunan ekonomi.

“ mFEM juga merupakan kad laporan mengenai penyampaian kerajaan, dengan kemajuan dinilai bukan sahaja dari perspektif rasmi tetapi juga melalui input daripada pemain industri, ahli akademik dan pelabur,” katanya.

Akmal memberitahu, FEM juga akan berperanan sebagai platform untuk memperkukuh penglibatan dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk perniagaan bukan syarikat berkaitan kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana, ahli akademik dan peserta muda.

““Perbincangan panel pula untuk mengetengahkan pencapaian dan cabaran pelaksanaan, menawarkan pandangan yang lebih seimbang tentang trajektori ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast