KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu menghentikan kenyataan terbuka di ruang awam yang hanya mengeruhkan keadaan, sebaliknya mengutamakan mekanisme dalaman bagi meleraikan kemelut yang berlaku di dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini secara berhemah.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelbagai kemelut yang berlaku di dalam PN menuntut semua pihak khususnya setiap parti komponen PN kembali ke meja perbincangan.
Menurutnya, PN merupakan gabungan yang menjadi harapan rakyat dan kesepaduan yang dibina selama ini tentunya tidak disenangi, malah dicemburui oleh seteru politik, khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Justeru, jangan kita membuka ruang yang memudahkan musuh memecah-belahkan perpaduan PN. Perbezaan pandangan mesti diurus dengan matang agar muafakat sedia ada terus utuh,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Sementara itu, Tuan Ibrahim mengingatkan dalam muafakat politik, tidak semua yang diinginkan akan diperoleh, begitu juga sebaliknya.
Namun, ujarnya, sikap saling menghormati serta berpegang teguh kepada asas persefahaman adalah kunci kekuatan gabungan.
Ketika ini, tambah beliau, ada pihak yang bertepuk tangan melihat PN bertelagah sesama sendiri dan mengharapkan muafakat itu berakhir.
Dalam keadaan itu, jelasnya, adalah tidak mustahil musuh menyelinap masuk untuk menimbulkan keraguan dan pertikaian, sehingga muafakat semakin melemah.
“Kita mesti kembali memperkukuh muafakat bersama, mengeratkan jalinan, dan memperkemas kerjasama.
“Rakyat masih menaruh harapan kepada kita. Justeru, kita perlu bermuhasabah, membaiki kelemahan dan kekurangan, jika benar-benar mahu PN terus diberi kepercayaan dalam PRU akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menyeru semua pihak di dalam PN berhenti membuat kenyataan yang mengguris perasaan rakan muafakat serta jangan menikam belakang kawan sendiri apatah lagi berbangga menjatuhkan rakan gabungan.
Ujarnya, semua pihak di dalam PN perlu menghormati keputusan parti-parti rakan, dan bersedia menerima teguran serta pandangan dengan lapang dada.
“Ada pihak yang tulisannya baik dan membantu memperkukuh jemaah, itu penting bagi menjelaskan kekeliruan serta mendokong keputusan parti.
“Namun, ada juga pihak yang lebih baik berhenti menulis jika ia hanya berterusan mengelirukan ahli.
“Maka, tepuk dada tanya selera, di manakah posisi yang wajar kita ambil demi muafakat ini?” soalnya. – MalaysiaGazette
















