Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menyelaraskan semula penetapan kadar pengiraan fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tempoh pembaharuan LKM bagi kenderaan perkhidmatan e-Hailing.

Kementerian Pengangkutan berkata, langkah itu dilaksanakan bagi menangani pemilik kenderaan e-Hailing untuk
memperbaharui LKM apabila tempoh permit kenderaan tersebut (eVP) hampir tamat dan berbaki tempoh sah laku kurang daripada enam bulan.

Ini bermakna, semua kenderaan perkhidmatan e-Hailing yang berdaftar secara sah akan diberikan kebenaran memperbaharui LKM untuk sesuatu tempoh yang lebih singkat daripada tempoh enam atau 12 bulan.

Namun, katanya, pembaharuan LKM ini masih tertakluk kepada tempoh sah laku terendah eVP, laporan Pusat Pemeriksaan Kenderan Motor (PPKM) dan tempoh perlindungan insurans yang masih berkuatkuasa.

“Dalam hal ini, tempoh sah LKM bagi kenderaan perkhidmatan e-Hailing akan ditetapkan tempoh minimum satu bulan manakala tempoh maksimum pula adalah 12 bulan.

“Pemilik kenderaan perkhidmatan e-Hailing diberi fleksibiliti untuk memperbaharui LKM untuk tempoh satu hingga lima bulan, di mana kadar fi terkumpul tidak akan melebihi kadar fi LKM enam bulan. Kadar fi LKM bagi tempoh 6 bulan dan 12 bulan pula adalah tidak berubah,” tambah beliau.

Jelasnya, kemudahan ini hanya terpakai selagi mana kenderaan berkenaan masih berdaftar sah sebagai kenderaan e-Hailing.

Penetapan kadar fi dan tempoh LKM ini akan berkuatkuasa mulai 30 Januari 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast