Tan Mei Phing

KUALA LUMPUR – Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) terus mencatatkan prestasi kukuh merangkumi Acara Perniagaan dan Acara Sukan Antarabangsa tahun ini selepas mendapat sebanyak 92 acara yang menjana anggaran impak ekonomi (EEI) sebanyak RM1.63 billion.

Jumlah ini melibatkan 101,365 delegasi antarabangsa dan jumlah kehadiran keseluruhan 230,284 delegasi.

Dalam segmen Acara Sukan Antarabangsa (ISE), MyCEB berjaya memperoleh empat acara, menyumbang RM76.1 juta dalam perbelanjaan pelawat serta menarik 7,730 peserta antarabangsa, dengan jumlah kehadiran keseluruhan 82,190 orang.

Pencapaian ini, setakat 23 Januari 2026, mengukuhkan lagi daya saing Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi acara antarabangsa bernilai tinggi.

Menurutnya, pada tahun 2025, MyCEB berjaya memperoleh sebanyak 393 acara perniagaan, yang menjana EEI sebanyak RM4.07 bilion daripada delegasi antarabangsa.

Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan pemulihan kukuh industri, malah keyakinan berterusan penganjur dan delegasi antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi tuan rumah yang kompetitif dan boleh dipercayai, kata MyCEB dalam majlis MyCEB Media Engagement 2026 hari ini.

Bercakap dalam majlis yang menghimpunkan rakan media hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing menekankan peranan penting media sebagai rakan strategik dalam membentuk persepsi dan memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global.

“Media memainkan peranan yang amat penting dalam menterjemahkan visi kami kepada cerita yang berwibawa dan berkesan di peringkat antarabangsa. Kerjasama anda membolehkan kami menyampaikan kekuatan Malaysia dengan jelas, yakin dan berintegriti,” katanya.

“MyCEB Media Engagement 2026 mencerminkan komitmen berterusan kami untuk membina hubungan yang berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan kerjasama jangka panjang.

“Seiring usaha kami bekerjasama rapat dengan para pemegang taruh, media kekal sebagai rakan utama dalam meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat serantau dan global,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast