Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) terus menjadi keutamaan bagi memastikan setiap murid menamatkan pendidikan sekolah rendah dengan asas pembelajaran yang kukuh.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dan berfokus melalui pengesanan awal, intervensi kurikulum serta sokongan berterusan di peringkat sekolah.

“KPM sentiasa meletakkan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) sebagai keutamaan bagi memastikan setiap murid menamatkan pendidikan sekolah rendah dengan asas pembelajaran yang kukuh,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN–Indera Mahkota) mengenai kemajuan usaha memastikan setiap murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas membaca dan mengira di negara ini.

Menurut Fadhlina, bagi peringkat awal persekolahan, pelaksanaan Program Intervensi Tahun 1 sehingga 30 November tahun lalu menunjukkan seramai 388,770 daripada 437,406 murid Tahun 1 iaitu 88.88 peratus telah berjaya menguasai kemahiran asas 3M.

“Murid yang masih belum menguasai 3M terus diberi bimbingan melalui intervensi berfokus dan sokongan pedagogi secara bersepadu oleh guru mata pelajaran dan guru pemulihan khas,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan sehingga akhir sesi akademik 2025/2026, seramai 2,179,607 daripada 2,247,098 murid Tahun 2 hingga Tahun 6 atau 97 peratus telah menguasai kemahiran asas 3M.

Bagaimanapun masih terdapat seramai 1,929 murid Tahun 6 atau 1.45 peratus yang belum menguasai sepenuhnya kemahiran asas berkenaan dan akan terus mengikuti Program Pemulihan Khas sebelum melangkah ke peringkat menengah.

“KPM akan terus komited untuk memastikan tiada murid tercicir melalui bimbingan lanjutan dan sokongan berfokus sehingga semua murid menguasai kemahiran asas membaca dan mengira sebelum menamatkan pendidikan sekolah rendah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast