KUALA LUMPUR — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengecam sekeras-kerasnya kegagalan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sehingga kini masih belum diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meskipun selepas 13 tahun pelaksanaan dengan perbelanjaan melebihi RM11 bilion.
Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif berkata, laporan rasmi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) membuktikan pada 2011, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan pertukaran rekabentuk kapal daripada SIGMA pilihan TLDM kepada GOWIND yang merupakan pilihan kontraktor bertentangan dengan nasihat profesional TLDM.
Keputusan tersebut mengakibatkan kerugian besar kepada negara termasuk perbelanjaan sekitar RM6 bilion bagi komponen yang tidak boleh digunakan, peningkatan kos keseluruhan kepada RM11 bilion, pengurangan jumlah kapal daripada enam kepada lima serta kegagalan menyiapkan sebarang kapal sehingga kini.
“Putra tidak membuat tuduhan kosong. Semua fakta ini terkandung dalam laporan audit rasmi yang telah dinyahklasifikasi dan dibentangkan kepada Parlimen. Memo Zahid sendiri turut dilampirkan dalam laporan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Putra mengemukakan beberapa persoalan kepada Kerajaan Madani, antaranya mengapa spesifikasi LCS ditukar walaupun TLDM tidak bersetuju, siapa yang mendapat manfaat daripada pertukaran tersebut, mengapa tiada tindakan undang-undang diambil terhadap Ahmad Zahid serta mengapa kerajaan dilihat berdiam diri berhubung isu berkenaan.

Putra turut mengemukakan empat tuntutan utama termasuk penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), pendedahan semua dokumen dan memo rasmi kepada rakyat, tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuai atau menyalahguna kuasa serta jaminan bahawa kapal pertama benar-benar siap menjelang Jun 2026 dan bukan sekadar janji politik.
“Kerajaan Madani kononnya menjanjikan reformasi dan ketelusan. Namun dalam isu LCS, mereka dilihat hanya mewarisi dan melindungi kegagalan lama. Ini reformasi atau pengkhianatan terhadap amanah rakyat?” katanya. – MalaysiaGazette
















