Dr. Prodyut Dutt

KLANG – Sehingga hari ini, sebanyak lima daripada 22 set tren LRT Laluan Shah Alam (LRT3) berjaya melengkapkan Ujian Larian Tanpa Gagal (FFR).

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana, Dr. Prodyut Dutt berkata, kelima-lima set tren tersebut telah melepasi ujian berkenaan dengan prestasi operasi yang stabil dan konsisten.

“Sementara itu, satu lagi set tren dalam kumpulan sama kini berada pada fasa akhir pengujian dan dijangka melengkapkan ujian FFR pada lewat hari ini,” katanya ketika sesi taklimat  media mengenai perkembangan projek itu di Depoh Johan Setia, hari ini.

Tambah beliau, dalam masa yang sama, lapan set tren dalam kumpulan dua turut berada pada peringkat akhir pengujian dan dijangka dapat diselesaikan secara berperingkat menjelang 2 Februari 2026.

“Sebaik sahaja keseluruhan proses pengujian bagi kumpulan  satu dan dua selesai, pihak kontraktor mempunyai tempoh tujuh hari untuk mengemas kini dan menambah baik perisian dan pengoperasian sistem.

“Seterusnya pengujian FFR bagi kumpulan tiga dengan melibatkan baki lapan set tren, akan disambung dan dijangka siap pada 28 Februari 2026,” tambahnya.

FFR merupakan ujian integrasi menyeluruh melibatkan sistem isyarat, komunikasi, set tren serta sistem kawalan operasi.

Kemudian, kesemua 22 set tren akan melalui pemeriksaan cermat akhir (PCA) untuk memeriksa dan menguji kesiapan kereta api yang dibina supaya mematuhi Skim Kereta Api dan dokumen cadangan teknikal untuk tujuan pengoperasian yang selamat.

Proses ini juga merupakan prasyarat utama sebelum permohonan Lesen Pengendali Rel dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat, tambahnya.

Mengulas lanjut, Prodyut berkata, Prasarana tidak menetapkan tempoh masa untuk semua ujian dilaksanakan.

Sebaliknya, pihak tersebut mengutamakan ujian dilaksanakan secara terperinci bagi menjamin keselamatan pengguna ketika tren beroperasi kelak.

“Setiap ujian memang kita tidak letak ‘dateline’ kepada kontraktor sebab kita mahukan aspek keselamatan diutamakan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Prodyut berkata, Prasarana menggerakkan 800  kakitangan untuk bertugas di LRT3 yang mana 20 peratus daripada dalam kalangan berpengalaman daripada laluan lain.

Manakala 80 peratus adalah kakitangan baharu.

Pada 10 Disember tahun lalu, Prasarana mengesahkan LRT Laluan Shah Alam tidak dapat memulakan operasi susulan 33 isu teknikal membabitkan ralat perisian dan gangguan sistem dikenal pasti sepanjang tempoh 2.5 bulan ujian FFR dilakukan.

Isu berkenaan membabitkan aspek keselamatan, operasi dan prestasi sistem, yang memerlukan tindakan pembetulan segera sebelum laluan itu boleh dipertimbangkan untuk dibuka kepada orang ramai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast