KUALA LUMPUR – Seramai 218 warga asing dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Sapu Bersepadu di Taman Emas, Cheras, malam tadi, dengan bantuan penggunaan dron bagi mengesan individu yang cuba bersembunyi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata Operasi bermula jam 7 malam itu dijalankan hasil aduan awam dan risikan, melibatkan 279 pegawai daripada Ibu Pejabat JIM Putrajaya, JIM Negeri Sembilan dan Perak serta 10 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Penggunaan dron yang dilengkapi sensor pengesan haba membantu mengesan beberapa individu yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di siling serta bumbung premis.
“Warga asing berkenaan berusia antara 18 hingga 53 tahun dicekup kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen selepas pemeriksaan ke atas 1,087 individu dijalankan di premis perniagaan serta kawasan penginapan di bahagian atas bangunan
“Mereka terdiri daripada 166 lelaki dan 52 wanita, melibatkan warga Myanmar (78), Bangladesh (56), Indonesia (44), Nigeria (12), Nepal (10), India (5), Sri Lanka (4) dan lain-lain negara (9).
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, memiliki kad pengenalan yang tidak diiktiraf, serta kesalahan lain di bawah peruntukan undang-undang imigresen negara.
Jelas beliau, pihaknya akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi mengesan, memeriksa, menangkap, mendakwa serta menghantar pulang warganegara asing yang melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
















