KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli akan menulis surat kepada Perdana Menteri; Menteri Dalam Negeri dan polis bagi mengusulkan supaya siasatan melibatkan serangan ke atas anaknya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Menurut bekas Menteri Ekonomi berkenaan, perkara itu akan diusulkan sekiranya beliau berasakan siasatan kes serangan itu tidak akan ke mana-mana selepas menunggu untuk tempoh tertentu.
Ujarnya, usul supaya kes serangan itu diklasifikasikan sebagai NFA bagi mengelak anggota polis yang hanya menurut perintah membuang masa menjalankan siasatan kes tersebut.
“Lagi pun, perdana menteri juga yang beriya-iya keluar kenyataan cepat-cepat suruh siasatan dibuat secara telus.
“Kalau dah lebih 6 bulan tapi tak ke mana, malu lah PMX. Baik saya yang volunteer suruh tutup saja siasatan untuk jaga air muka PMX,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menambah, beliau juga reda dengan kejadian serangan yang menimpa anaknya itu.
Malah, katanya, beliau dan keluarganya juga lebih yakin dengan doa daripada bergantung kepada budi bicara manusia, agar kejadian sedemikian tidak akan berulang lagi kepada sesiapa pun di negara ini.
“Yang nak kena pertahan reputasi di mata rakyat ni bukan anak saya yang kena serang.
“Yang nak kena jawab dengan rakyat nanti adalah orang-orang besar belaka, mereka tahulah apa jawapan nak diberi satu hari nanti,” katanya.
Terdahulu, Rafizi mengakui beliau tidak pernah mendapat apa-apa maklum balas sama ada secara rasmi atau tidak rasmi selepas kejadian serangan ke atas anaknya pada Ogos tahun lalu.
Sebaliknya, kata beliau, sebarang kemas kini siasatan kejadian itu hanya diperoleh menerusi laporan media sama seperti orang lain.
Namun, tambahnya, beliau ada bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di bangunan Parlimen pada 1 Disember lalu.
“Saya ingat sebab dia tak sampai hati dah berbulan-bulan tak de maklumat atau hasil siasatan mengenai kejadian serangan, dia ada berkongsi beberapa perkembangan dan sudut-sudut siasatan,” katanya.
Tambahnya, beliau turut memasukkan soalan di Dewan Rakyat untuk disahkan secara rasmi oleh Saifuddin Nasution berhubung maklumat-maklumat yang telah dikongsikan dalam perjumpaan pada 1 Disember lalu.
Ujarnya, seperti yang dijangka, Saifuddin Nasution menjawab soalan itu yang disifatkan secara pentadbiran bagi mengelak maklumat sulit terdedah yang boleh menganggu siastan.
“Saya pun tak ambik hati. Sebab anak kita yang kena, takkan orang lain faham perasaan kita,” katanya.
Malah, kata Rafizi, beliau turut berterima kasih kerana jawapan Saifuddin Nasution itu mengesahkan dua perkara iaitu perjumpaan dengannya pada 1 Disember benar-benar berlaku.
Selain itu, katanya, ia turut mengesahkan bahawa Saifuddin Nasution memang berkongsi maklumat mengenai perkembangan dan sudut siasatan kes tersebut dalam pertemuan dengan beliau pada tarikh tersebut.
“Itu saja yang saya nak sebenarnya. Saya pun realistik takkan lah beliau akan kongsi apa yang beliau beritahu kepada saya.
“Sebab saya pun faham dalam sistem kita, kalau tidak ada kuasa, proses nak cari dalang kes macam ini memang jadi lama. Silap-silap hari senyap begitu saja bila dirasakan orang sudah lupa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan anak Rafizi diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan di pusat beli-belah di Putrajaya sekitar jam 1.45 tengah hari pada Ogos tahun lalu.
Rafizi berkata, kejadian berlaku ketika beliau, isteri dan anaknya mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah berkenaan. – MalaysiaGazette
















