KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memperkenalkan perkhidmatan Electric Multiple Unit Plus (EMU+) yang akan beroperasi pada 13 hingga 15 Februari serta 20 hingga 22 Februari 2026 bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Perkhidmatan ini akan beroperasi sebanyak empat perjalanan bagi laluan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral bertujuan
menampung permintaan penumpang yang tinggi, dan pada ketika ini tiket bagi sektor berkenaan telah habis dijual.
Menurutnya, sebanyak 1,200 tiket perjalanan sehari ditawarkan bagi perkhidmatan EMU+ sepanjang tempoh ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,200 tiket ditawarkan sepanjang enam hari pengoperasian.
Pada masa yang sama, KTMB telah membuat persediaan rapi dari segi operasi, termasuk konfigurasi jadual perjalanan serta sistem tiket, namun pelaksanaan perkhidmatan ini masih tertakluk kepada kelulusan akhir daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Sekiranya perkhidmatan ini menerima sambutan yang menggalakkan, KTMB akan turut mempertimbangkan untuk
meneruskan inisiatif perkhidmatan tambahan yang sama sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
KTMB menambah, susulan daripada pengumuman Perkhidmatan Pengangkutan Awam Istimewa Sempena Perayaan 2026, syarikat kereta api it akan menyediakan keseluruhan lapan perkhidmatan tren elektrik tambahan (ETS) sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Sebanyak 26,460 tiket perjalanan untuk perkhidmatan tambahan ditawarkan dalam tempoh ini. Jualan tiket tambahan ini telah mula dibuka pada 24 Januari 2026 lepas.
“Dengan penambahan trip ini, jumlah keseluruhan perjalanan perkhidmatan ETS dan EMU+ semasa Tahun Baharu Cina meningkat sehingga maksima 56 trip sehari,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 36,540 tiket perjalanan untuk perkhidmatan tambahan ditawarkan dalam tempoh ini.
Jualan tiket tambahan ini akan dibuka pada 1 Mac 2026, jam 12 tengah hari.
Dengan penambahan trip perjalanan ini, jumlah keseluruhan perjalanan perkhidmatan ETS dan EMU+ semasa Hari Raya Aidilfitri meningkat sehingga maksima 56 trip sehari.
Oleh itu, jumlah keseluruhan yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia sempena musim perayaan ini yang merangkumi perkhidmatan EMU+ dan ETS tambahan adalah sebanyak 70,200 tiket.
“Penyediaan tren ETS tambahan ini diambil bagi menampung peningkatan permintaan penumpang, sekali gus memberi lebih banyak pilihan perjalanan yang selesa, selamat dan menepati kehendak pengguna.
“Inisiatif ini juga selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan pengangkutan awam rel kekal mudah diakses, berdaya saing dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.” tambah KTMB.
KTMB juga menggalakkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan membuat pembelian tiket terlebih dahulu bagi menikmati tambang yang lebih menjimatkan serta mengelakkan kesesakan dan pembelian pada saat akhir.
Para penumpang turut diingatkan untuk tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit sebelum Waktu berlepas kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren bertolak.
Dalam pada itu, bermula 4 Februari 2026, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan mengekalkan perkhidmatan ETS laluan JB Sentral – Butterworth – JB Sentral yang sebelum ini diperkenalkan sebagai perkhidmatan tambahan sempena perayaan Thaipusam.
KTMB juga akan meningkatkan kekerapan perjalanan JB Sentral –Padang Besar – JB Sentral kepada 4 trip perjalanan sehari berbanding dua trip perjalanan pada waktu ini.
Jelasnya, penambahan empat set baharu ini bukan sahaja meningkatkan kekerapan perjalanan, malah menyediakan lebih banyak pilihan serta kemudahan kepada penumpang.
Inisiatif ini menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS kepada 44 perjalanan sehari, berbanding 40 perjalanan sehari pada masa ini, selaras dengan penerimaan empat set tren ETS3.
Perkhidmatan yang ditambah merangkumi sektor KL Sentral – Ipoh – KL Sentral, KL Sentral – Butterworth – KL Sentral, KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral, JB Sentral – KL Sentral – JB Sentral dan JB Sentral – Butterworth – JB Sentral. – MalaysiaGazette
















