BANGI – Barisan pemimpin tertinggi Pas berkumpul di Hotel Tenera di sini bagi menghadiri program pemukiman parti itu bermula hari ini selama tiga hari.
Diketuai oleh presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan naib presidennya, Datuk Idris Ahmad.

Hadir sama, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sementara itu, Tuan Ibrahim memberitahu, pemukiman bermula hari ini sehingga Ahad ini adalah program tahunan parti.
Difahamkan, petang ini akan berlangsung mesyuarat Majlis Syura dengan Jawatankuasa Pas Pusat yang turut dihadiri Abdul Hadi.
Malam tadi, beliau tidak menghadiri mesyuarat pimpinan Perikatan Nasional (PN) di kediaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur.
Setiausaha politiknya, Mohd Syahir Mohd Sulaiman bagaimanapun berkata, Abdul Hadi telah menyampaikan pandangannya kepada semua presiden parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN)
Ia kerana berlaku perubahan jadual saat akhir di pihak Abdul Hadi dan pemakluman mengenai ketidakhadiran Ahli Parlimen Marang itu juga sudah dimaklumkan kepada Muhyiddin.
Pada mesyuarat itu, hanya presiden parti komponen PN iaitu Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia, P Punithan hadir di kediaman Muhyiddin.
Ketiadaan pemimpin parti Pas menghadiri perjumpaan itu seolah-olah memberi petanda parti berkenaan ‘ditunjuk jalan keluar’ daripada PN. – MalaysiaGazette















