LONDON – Permintaan global terhadap emas melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu 5,002 tan pada tahun 2025, di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang berterusan, menurut Majlis Emas Dunia.
Ketidaktentuan ini telah mendorong pelaburan besar dalam emas, sekali gus meningkatkan jumlah nilai kepada tahap belum pernah dicapai sebelum ini iaitu AS$555 bilion naik 45 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan tahunan trend permintaan emas majlis tersebut.
Majlis yang beribu pejabat di London itu berkata, persepsi risiko yang tinggi terus menyokong selera pelabur.
“Tahun 2025 menyaksikan lonjakan mendadak permintaan emas dan kenaikan harga yang melambung. Pengguna dan pelabur sama-sama membeli dan menyimpan emas dalam persekitaran di mana risiko ekonomi dan geopolitik telah menjadi kebiasaan baharu,” kata Louise Street, penganalisis pasaran kanan majlis itu.
Permintaan pelaburan global mencapai paras penting 2,175 tan pada tahun 2025, menjadikannya pemacu utama di sebalik tahun rekod emas, menurut majlis berkenaan.
“Pelabur berlumba-lumba mendapatkan emas melalui semua saluran yang tersedia,” ujar Street.
Walaupun harga meningkat, permintaan pengguna kekal agak berdaya tahan kerana penggunaan barang kemas merosot 18 peratus tahun ke tahun, walaupun harga emas meningkat 67 peratus, mencerminkan kesediaan berterusan dalam kalangan pembeli untuk membeli pada paras harga yang tinggi, katanya.
Bank pusat juga merupakan pembeli utama, dengan menambah 863 tan emas pada tahun 2025, hampir kepada had atas julat unjuran majlis tersebut. Street berkata bank-bank pusat kekal komited untuk memperkukuh rizab mereka.
Melihat ke hadapan, beliau berkata ketidakstabilan ekonomi dan geopolitik yang berterusan berpotensi terus menyokong permintaan pada tahun 2026, sekali gus mengukuhkan peranan emas sebagai aset lindung nilai. – Agensi
















