Dr. Bariah Mohd Ali (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Takaful Berhad, Faiezy Hasnan (tiga kiri) bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman (tiga kanan) menunjukkan tanda bagus selepas majlis penyerahan cek cura dari Etiqa General Takaful Berhad bagi pembinaan dua buah telaga tiub dan bantuan kebajikan dan sokongan kewangan pelajar UKM.

BANGI– Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan berjumlah RM550,000 daripada Etiqa General Takaful Berhad dalam memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang antara institusi pendidikan dan sektor korporat dalam menjayakan agenda kebajikan, pendidikan dan pembangunan komuniti.

Timbalan Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali berkata, sumbangan itu merupakan kepercayaan berterusan Etiqa terhadap peranan UKM sebagai rakan strategik industri dalam melaksanakan inisiatif kebajikan dan pendidikan berasaskan kepakaran dan penyelidikan.

“Kerjasama UKM bersama Etiqa General Takaful ini juga merupakan contoh kolaborasi strategik jangka panjang yang berpaksikan nilai amanah, kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat.

“Kerjasama ini mencerminkan keselarasan nilai antara universiti dan industri dalam menyampaikan impak sosial yang berterusan. Model kerjasama ini juga membuktikan keupayaan UKM mengoptimumkan kepakaran universiti untuk memenuhi aspirasi CSR industri secara mampan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Etiqa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Takaful Berhad, Faiezy Hasnan berkata, kerjasama bersama UKM membolehkan sumbangan Etiqa disalurkan secara lebih berfokus dan mampan, dengan impak yang jelas kepada masyarakat dan pendidikan.

Sumbangan tersebut merangkumi dana amal jariah bagi pembinaan telaga tiub serta bantuan pelajaran melalui dana dermasiswa dan zakat UKM, yang akan dimanfaatkan untuk pembinaan telaga tiub di Sekolah Kebangsaan Bangi dan Masjid Darul Tahsis, Kampung Melayu, Pulau Carey, selain membantu pelajar UKM daripada latar belakang sosioekonomi yang memerlukan.

Pelaksanaan projek ini akan disokong oleh kepakaran akademik UKM bagi memastikan penyediaan bekalan air bersih yang selamat dan berkualiti untuk kegunaan jangka panjang komuniti setempat.

Antara kepakaran yang digunakan untuk projek dana ini adalah seperti hidrogeologi, geofizik penjelajahan, kualiti air, pemodelan air bawah tanah dan lain-lain.

Majlis Penyerahan Sumbangan Etiqa-UKM ini adalah kerjasama lanjutan antara Etiqa dan UKM, susulan pelaksanaan program komuniti pada tahun 2023 di Balai Raya Kampung Labu Lanjut serta sumbangan wakaf peralatan kesihatan kepada Pusat Kesihatan UKM.

Kerjasama ini juga merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab zakat korporat tahunan Etiqa bersama UKM, yang memberi penekanan kepada kebajikan masyarakat dan pembangunan modal insan secara berterusan.

Pada majlis itu, cek cura berjumlah RM300,000 diserahkan bagi pembinaan dua buah telaga tiub, dan RM250,000 diserahkan untuk bantuan kebajikan dan sokongan kewangan pelajar UKM.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast