KUALA LUMPUR – Badan kehakiman menafikan kandungan aplikasi WhatsApp berhubung keputusan rayuan sivil melibatkan pembayaran pencen kepada seorang wanita, Aminah Ahmad dan 56 pesara perkhidmatan awam.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kenyataan menegaskan, maklumat berkaitan keputusan mahkamah yang melibatkan pembayaran pencen serta arahan-arahan lanjut yang disebarkan itu adalah palsu.
Kandungan WhatsApp itu antara lain menyatakan, Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan kerajaan pada 29 Januari lalu dan memuktamadkan isu pelarasan pencen terhadap Aminah dan 56 yang lain.
Mesej tular itu turut menyatakan, kerajaan perlu menguatkuasakan perintah mandamus melalui pembayaran tunggakan pencen dianggarkan RM1.7 billion bukan sahaja kepada 57 pihak, sebaliknya turut melibatkan 531,976 pesara.
“Untuk makluman, keputusan rayuan ini telah ditangguhkan dan tidak sebagaimana yang didakwa dalam mesej yang tular berkenaan.
“Sekiranya terdapat sebarang persoalan sila hubungi
[email protected],” demikian menurut kenyataan tersebut.
Maklumat yang disebarkan itu berkaitan keputusan rayuan di antara Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam terhadap Aminah Ahmad yang menyaman atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara.
Pada 16 Januari tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh membenarkan semakan kehakiman Aminah dan turut mengarahkan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan, bermula tarikh penghakiman.
Bagaimanapun, pada 4 Mac tahun lalu, hakim berkenaan membenarkan permohonan kerajaan untuk menggantung pelarasan bayaran pencen berkuat kuasa Januari 2022, sementara menunggu pelupusan rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lim Chong Fong yang bersidang bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid kemudian mendengar rayuan kerajaan pada 9 September tahun lalu.
Aminah yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, memohon perintah mandamus bagi memaksa responden menyegerakan pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula sebelum pindaan di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013.
Beliau yang memfailkan permohonan itu atas kapasiti sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam turut memohon perintah untuk responden membayar tunggakan pencen dalam tempoh 14 hari selain perintah deklarasi yang menyatakan kegagalan membayar melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Perintah itu yang melibatkan pembayaran tunggakan pencen dianggarkan RM1.7 bilion mulai Januari 2022, bukan sahaja perlu dibayar kepada pemohon-pemohon (Aminah Ahmad dan 56 pesara perkhidmatan awam), malah kepada 531,976 pesara.
Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan, bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan. – MalaysiaGazette
















