Tangkap layar video tular memaparkan memaparkan kesalahan lalu lintas dipercayai dilakukan pemandu bas pink yang memotong di garisan berkembar di Klebang, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka membuka siasatan terhadap pemandu ‘bas pink’ berhubung penularan sebuah video memaparkan kesalahan lalu lintas dipercayai berlaku di Klebang di sini baru-baru ini.

Video berdurasi 14 saat yang tersebar dua hari lalu memaparkan bas henti-henti itu memotong sebuah kereta jenis Perodua Myvi di garisan berkembar sehingga menyebabkan pemandu Myvi terpaksa bergerak ke kiri untuk memberi laluan.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pihaknya telah mengeluarkan Notis Panggilan Temu Siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap syarikat pemilik bas berkenaan susulan video yang tular.

Siti Zarina Mohd Yusop

“Notis kepada pemilik syarikat bas terbabit bertujuan memintanya hadir ke JPJ serta mengemukakan maklumat pemandu yang terlibat semasa kejadian berkenaan yang tular di media sosial.

“Sekiranya wujud kesalahan, kita akan mengeluarkan notis saman P(22) di bawah Kaedah 17B(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu kesalahan memotong di garisan berkembar dengan kompaun maksimum sehingga RM300,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Tambah beliau,  JPJ turut tidak menolak kemungkinan tindakan dan caj kesalahan lain akan dikenakan bergantung kepada hasil penuh temuduga dan siasatan yang dijalankan terhadap syarikat serta pemandu terbabit.

“JPJ Melaka memandang serius setiap aduan dan rakaman tular yang melibatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya kenderaan awam, dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan menyalurkan maklumat sah kepada pihak berkuasa bagi membantu penguatkuasaan demi keselamatan bersama,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa insiden tular melibatkan bas Bas.My atau bas pink di Melaka sepanjang 2025, termasuk kemalangan maut, pemanduan berbahaya serta kes pemandu positif dadah.

Susulan kejadian berulang itu, kerajaan negeri pernah menggantung tugas tiga pemandu bas dan mengarahkan semakan semula rekod semua pemandu bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast