KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, berkuat kuasa mulai Ahad ini.
Memteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan berkata, pelantikan itu turut melibatkan kenaikan pangkat beliau daripada Leftenan Jeneral kepada Jeneral selaras dengan peruntukan dan perkenan Seri Paduka Baginda.
Menurut kenyataan itu, pelantikan berkenaan dibuat berdasarkan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu.
“Syor tersebut seterusnya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2026,” demikian menurut Mohamed Khaled.
Malek Razak memiliki kelulusan akademik dalam bidang pertahanan dan keselamatan termasuk Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau juga berkelulusan Master of Arts in Defence Studies dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.
Perkhidmatan beliau dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom sebelum ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.
Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi, bermula sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja selain memegang pelbagai jawatan penting di peringkat pemerintah dan staf dengan jawatan terakhir sebagai Panglima Medan Barat Tentera Darat.
“Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara, di samping memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” kata Mohamed Khaled. – MalaysiaGazette
















