KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkaitan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan hartanya didakwa menimbulkan gambaran mengelirukan seolah-olah wujud penyalahgunaan kuasa, ugutan serta ketidakpatuhan prosedur.
Peguam, Datuk Sankara Nair menjelaskan, pelaksanaan tersebut telah dijalankan berdasarkan writ yang sah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.
Beliau yang juga peguam mewakili Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, pelaksanaan tersebut diselia dan diarahkan oleh penolong kanan pendaftar mahkamah dan dilaksanakan sepenuhnya oleh bailif mahkamah.
“Mereka satu-satunya pegawai yang diberi kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan writ tersebut. Ia bukanlah suatu tindakan sewenang-wenangnya, unilateral atau digerakkan oleh mana-mana pihak atau peguam,” demikian menurut kenyataan itu.

Beliau menyatakan demikian bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul demi ketepatan fakta, keadilan dan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan.
Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa. Ganti rugi itu bagaimanapun telah dijelaskan.
Pada 28 Januari lalu, media melaporkan, sejumlah 14 harta alih milik Jamal disita secara paksa daripada kediamannya di Ampang Jaya dekat sini dengan kehadiran bailif Mahkamah Tinggi.
Barangan yang dirampas itu dilupuskan secara lelong bagi menyelesaikan penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 iaitu kos yang belum dibayar kepada Teresa berkaitan kes saman fitnah terhadap Jamal berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada 2017.
Sankara selanjutnya berkata, kos tersebut kekal tidak dibayar walaupun pelbagai usaha telah dibuat dalam tempoh yang berpanjangan untuk mendapatkan pematuhan.
Oleh yang demikian, katanya, prosiding pelaksanaan telah dimulakan sebagai langkah penguatkuasaan terakhir sepenuhnya dengan kebenaran mahkamah, susulan kegagalan untuk mematuhi suatu perintah mahkamah yang jelas.
“Untuk mengelakkan sebarang keraguan, kehadiran peguam dari firma kami di lokasi adalah semata-mata untuk tujuan pemerhatian.
“Peguam kami tidak terlibat, tidak mengarah dan tidak mempengaruhi proses pelaksanaan dalam apa jua cara sekalipun. Pelaksanaan tersebut dijalankan sepenuhnya oleh bailif mahkamah di bawah penyeliaan penolong kanan pendaftar,” ujar kenyataan tersebut.

Sankara selanjutnya menyatakan banyak penekanan telah diberikan terhadap kehadiran anggota polis semasa pelaksanaan tersebut, dengan dakwaan bahawa kehadiran sedemikian adalah tidak wajar memandangkan perkara ini merupakan suatu tuntutan sivil.
Bagaimanapun, peguam itu menjelaskan, dakwaan tersebut mencerminkan salah faham terhadap amalan pelaksanaan sivil yang telah lama diterima pakai di Malaysia.
Ujar beliau, hakikat bahawa sesuatu prosiding itu bersifat sivil tidak menafikan kehadiran pihak polis.
Katanya, bantuan polis dibenarkan di sisi undang-undang bagi tujuan yang terhad dan sah iaitu untuk mengekalkan ketenteraman awam, mencegah halangan dan memastikan keselamatan pegawai Mahkamah semasa pelaksanaan.
“Perlu ditegaskan bahawa pihak polis tidak melaksanakan writ, tidak menyita sebarang harta, dan tidak mengarah atau mengawal proses pelaksanaan.
“Kehadiran mereka adalah terhad sepenuhnya kepada aspek keselamatan dan ketenteraman. Writ tersebut sendiri membenarkan bantuan polis sekiranya perlu,” katanya.
Menurut Sankara, keperluan tersebut hendaklah dinilai berdasarkan keadaan di lapangan khususnya apabila kemasukan secara paksa dijangkakan, penghutang penghakiman tidak berada di premis dan terdapat sejarah ketidakpatuhan yang diketahui.
Beliau seterusnya menjelaskan, sebarang dakwaan kehadiran polis bertujuan untuk mengugut adalah bersifat spekulatif dan tidak disokong oleh sebarang bukti.
“Kehadiran keselamatan semasa pelaksanaan adalah satu perlindungan, bukannya penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Berhubung dengan kemasukan secara paksa, beliau berkata, fakta adalah jelas bahawa penghutang penghakiman tidak berada di premis, tiada sebarang respons diberikan manakala writ tersebut membenarkan kemasukan dalam keadaan sedemikian.
Kata Sankara, kemasukan telah dilakukan di bawah penyeliaan langsung mahkamah kerana ia sah dan dibenarkan apabila diselia secara kehakiman.
“Sebarang kerosakan yang berlaku adalah akibat langsung daripada kegagalan berterusan untuk bekerjasama dan bukannya salah laku oleh pihak berkuasa pelaksana,” katanya.
Peguam itu seterusnya menjelaskan, cadangan bahawa pegawai pelaksana sepatutnya menggunakan kaedah alternatif seperti menyita kenderaan di luar premis adalah salah daripada segi undang-undang.
Ujar beliau, pegawai pelaksana tidak diwajibkan untuk menerima cadangan retrospektif atau keutamaan yang dibangkitkan selepas kejadian.
Katanya, mereka berhak untuk bertindak dengan cara yang sah dan munasabah dan tidak diwajibkan untuk membuat spekulasi mengenai pemilikan atau menjalankan siasatan serta-merta berkaitan tuntutan pihak ketiga.
Jelas beliau, sekiranya pemilikan pihak ketiga dibangkitkan, undang-undang menyediakan suatu remedi yang jelas dan mantap melalui prosiding interpleader, iaitu proses sivil yang lazim dan tidak menjadikan pelaksanaan tersebut tidak sah atau bersifat menindas.
“Kehadiran media tidak menjadikan suatu pelaksanaan yang sah itu tercemar atau tidak berwibawa. Perintah mahkamah tidak boleh diketepikan atau tidak dikuatkuasakan hanya kerana pelaksanaannya menarik perhatian awam, khususnya apabila penghutang penghakiman merupakan seorang tokoh awam,” ujar beliau.
“Kenyataan yang meremehkan atau melemparkan tuduhan terhadap suatu proses penguatkuasaan yang diarahkan oleh mahkamah boleh merupakan atau menghampiri penghinaan terhadap mahkamah kerana ia berpotensi menghakis keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















