Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan melakukan gimik perasmian dengan memusingkan tuli sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir pada Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 31 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Usaha pemuliharaan tapak-tapak warisan utama Kuala Lumpur dilakukan bukan semata-mata untuk mengulangi nostalgia sejarah Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ikhtiar itu untuk memastikan sejarah negara dari Perlis sampai ke Sabah harus sentiasa berakar, segar dan dijadikan pedoman semua generasi rakyat.

“Ia bagi memastikan generasi ini dan generasi penerus tidak akan gelojoh dan tersasar dengan cita-cita dan idealisme buruk.

“Peningkatan strategik kerajaan untuk menghidupkan semula tapak-tapak warisan utama sebagai pemangkin pembangunan ekonomi bandar berasas dengan budaya,” katanya berucap pada Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad hari ini.

Pada majlis sama, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli dan menyempurnakan pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Perdana Menteri juga berkata, warisan tidak dilihat sebagai beban masa lalu tetapi sebagai aset strategik yang mampu menjana pelancongan, menggerakkan industri kreatif, membuka peluang pekerjaan dan mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan.

“Peningkatan ini juga selari dengan persiapan negara menuju Tahun Melawat Malaysia 2026. Malaysia bukan sahaja dikenali kerana keindahan alam dan kepelbagaian serta kerencaman budaya tetapi juga kerana kekuatan naratif sejarah dan peradaban.

“Lebih penting, ikhtiar ini mencerminkan hasrat bersama membina Kuala Lumpur yang moden, indah dan dinamik namun berakar kepada sejarah dan nilai,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 31 JANUARI 2026

Perdana Menteri juga berkata, selain enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad, projek pemuliharaan tapak warisan negara yang dinyatakan dalam Belanjawan Negara 2026 juga meliputi Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa.

“Kita juga harus pastikan rakyat biasa dapat menikmati kemudahan-kemudahan ini. Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad ini menjadi antara manifestasi awal yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.

“Namun pemuliharaan tidak boleh berhenti pada struktur semata-mata. Bangunan warisan mesti dihidupkan,” katanya.

Perdana Menteri turut melahirkan keyakinan Bangunan Sultan Abdul Samad dan keseluruhan kompleks bersejarah ini akan terus menjadi cerminan identiti negara.

“Sebuah negara yang maju dan progresif, namun tidak terputus daripada akar sejarahnya; membangun bukan sahaja dengan kekuatan ekonomi, tetapi dengan jiwa, nilai dan kemanusiaan.

Kita harus memastikan bangunan-bangunan warisan ini terus hidup sebagai ruang yang mendidik, menyatukan dan memberi inspirasi bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dimanfaatkan oleh generasi hari ini dan pewaris kita pada masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast