GEORGE TOWN – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) buat julung kali menyediakan khemah reruai di tapak perayaan Thaipusam di Kuil Sri Ayira Vaisiyar Sri Meenakshi Sundareswarar, Jalan Kebun Bunga di sini.
Menteri KUSKOP, Steven Sim berkata, langkah itu bertujuan memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat mengenai program, geran, dana dan pembiayaan yang disediakan kementerian.
Katanya, reruai itu juga dilengkapi ruang rehat, makanan dan minuman, serta kemudahan saringan kesihatan bagi semua pengunjung yang hadir.

“Penganjuran khemah reruai pada perayaan ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada pengunjung tetapi juga membuka peluang untuk mereka mengetahui lebih lanjut tentang program dan bantuan kewangan yang disediakan KUSKOP.
“Saya juga bangga kerana 200 sukarelawan Wira KUSKOP yang rata-rata anak muda dari pelbagai kaum memberi perkhidmatan logistik, trafik dan membantu mereka yang memerlukan supaya perjalanan perayaan lancar.
“Inilah keunikan dan keindahan negara kita walaupun ini perayaan masyarakat Hindu, tetapi pelbagai kaum yang turut berkhidmat,” katanya hari ini.
Beliau ditemui pemberita ketika membuat tinjauan di tapak perayaan Thaipusam di kuil berkenaan.
Selain itu, Steven Sim turut mengumumkan sumbangan daripada KUSKOP berjumlah RM100,000 kepada Kuil Thannermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam, manakala RM50,000 lagi disalurkan kepada Kuil Sri Ayira Vaisiyar Sri Meenakshi Sundareswarar. – MalaysiaGazette
















