Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika keluar dari pertemuan tertutup Jawatankuasa Tertinggi PAS Pusat di Hotel Tenera, Bangi.. Foto AIZAT ZAINAL, 01 FEBRUARI 2026.

BANGI – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menepis dakwaan kononnya terdapat usaha untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin daripada Perikatan Nasional (PN).

Beliau secara keras menafikan perkara itu sambil menyatakan, perbincangan dalam Pemukiman Pas secara tertutup sejak Jumaat lalu adalah bagi meneruskan gabungan PN demi perpaduan.

“Tak betul, tak betul. Nak meneruskan Perikatan Nasional, perpaduan,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut di sini hari ini.

Abdul Hadi turut menegaskan, tiada isu-isu lain yang dibincangkan dalam pemukiman secara tertutup itu selain agenda untuk meneruskan gabungan berkenaan dan perpaduan nasional.

Semalam, bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendedahkan perihal kemelut dalaman PN, peranan Pas dan potensi Datuk Seri Hamzah Zainudin mengambil alih kepimpinan Bersatu.

Marzuki mendakwa, bagi parti diterajui Abdul Hadi, masalah dihadapi PN akan selesai apabila Muhyiddin berundur sebagai pengerusi gabungan terbabit.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika diminta mengulas mengenai perkara sama menegaskan, perkara tersebut tidak timbul memandangkan PN adalah gabungan empat parti yang kekal bersatu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika keluar dari pertemuan tertutup Jawatankuasa Tertinggi PAS Pusat di Hotel Tenera, Bangi.. Foto AIZAT ZAINAL, 01 FEBRUARI 2026.

“Kita sudah berkoalisi, mana mungkin kita ketepikan sesiapa. Empat-empat parti dalam PN masih utuh,” katanya.

Beliau turut menegaskan, PN kekal memerintah di empat negeri termasuk Perlis dan tidak berdepan sebarang masalah dalaman setakat ini.

“Di peringkat negeri pun kita masih PN. Tak ada masalah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pas melalui Biro Pemerkasaan Parti merangka pelbagai program tahunan bermula awal tahun ini sebagai persiapan berterusan menghadapi landskap politik semasa termasuk jangkaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, tiada sebarang keputusan muktamad atau perbincangan kritikal dibuat setakat ini.

Tambahnya, program tersebut merupakan acara tahunan biasa yang dilaksanakan setiap awal tahun yang diterajui Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan merangkumi perancangan dari peringkat awal sehingga hujung tahun hadapan.

“Program ini bersifat umum dan tahunan, melibatkan peringkat negeri dan persediaan parti menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebarang perbincangan berkaitan strategi pilihan raya yang lebih terperinci lazimnya dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti melalui Pas Pusat melibatkan presiden, timbalan presiden serta barisan naib presiden.

“Yang ini bukan perbincangan sulit atau kritikal (pemukiman tertutup). Perkara-perkara strategik dibincangkan di peringkat lain,” katanya.

Mengulas mengenai bentuk pertandingan pilihan raya, beliau berkata, parti hanya membincangkan beberapa pilihan termasuk pertandingan secara gabungan atau solo, namun tiada sebarang ketetapan muktamad dibuat setakat ini.

“Itu biasa dalam parti, ada option A, B dan C. Tetapi belum ada keputusan akhir,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast