KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menerima permohonan Pas untuk melaksanakan ‘gencatan senjata.’
Menurut beliau, gesaan supaya pemimpin kedua-dua parti itu untuk tidak lagi bertelagah serta berbalas kenyataan di media adalah penting demi perjuangan Islam dan ummah.
Bagaimanapun, beliau menyenaraikan deretan soalan dan permintaan untuk dijawab Pembantu Setiasuaha Agung Pas, Syahir Sulaiman, yang membuat kenyataan berhubung ‘gencatan senjata’ tersebut.
Ini termasuk meminta agar parti Islam itu mengeluarkan kenyataan maaf terhadap tuduhan yang dibuat terhadap Bersatu berhubung krisis Menteri Besar Perlis, akhir tahun lalu.
“Berlaku jujur dalam isu Perlis. Jangan sembunyikan kebenaran dan menegakkan kebatilan. Jangan korbankan agenda penyatuan dan perjuangan ummah, hubungan antara parti gabungan dan keharmonian hubungan dengan Istana semata-mata hendak mempertahankan seorang individu.
“Muhasabahlah untuk melihat di mana kelemahan dalam menguruskan isu ini dan perbetulkan. Tidak usahlah menyalahkan pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/02/02/isu-pengerusi-pn-pas-mohon-gencatan-senjata/
Antara persoalan yang dilontarkan Tun Faisal untuk dijawab oleh Syahir adalah berhubung perkara yang dibincangkan semasa pertemuan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ini termasuk sama ada berlaku atau tidak perbincangan dan persetujuan supaya Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memanggil Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN tanpa menjemput Muhyiddin.
Beliau turut menyenaraikan beberapa persoalan yang lebih terperinci mengenai mesyuarat luar biasa tersebut di samping tindakan Syahir yang membangkitkan isu kounsil penuh.
Dalam pada itu, Tun Faisal turut menjelaskan pandangan mereka mengenai kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.
Menurut beliau, ia bersandarkan kepada Perkara 8.3(I)(b) Perlembagaan PN yang memperuntukkan bahawa “perletakan jawatan Pengerusi hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi, yang seterusnya akan memilih Pengerusi baharu.”
Justeru soalnya, mengapa PN masih tidak memanggil Mesyuarat MT kerana berdasarkan catatan semasa pertemuan Hadi dan Muhyiddin pada 16 Januari lalu, beberapa perkara telah dipersetujui dan dimuafakati serta perlu diambil tindakan susulan.
Ini termasuk memanggil mesyuarat jawatankuasa teknikal untuk menyelaraskan input-input mengenai pindaan Perlembagaan PN; Pre-council Presiden-Presiden untuk mendapatkan permuafakatan mengenai draf pindaan Perlembagaan PN; dan draf pindaan dibawa kepada setiap parti individu untuk diluluskan oleh MT masing-masing.
Menurut beliau, selepas kesemuanya selesai, barulah Mesyuarat MT PN akan diadakan untuk meluluskan peletakan jawatan Muhyiddin,
“Jika YB hadir dalam pertemuan kedua-dua Presiden pada 16 Januari, YB adalah saksi hidup yang akan dipertanggung jawabkan, bukan sahaja di dunia, malah di Padang Mahsyar nanti. Sebaiknya YB semak semula nota catatan YB mengenai perkara ini,” ujarnya lagi.
Dalam kenyataan yang sama, Tun Faisal bersetuju bahawa perjalanan bersama PN perlu diteruskan manakala persiapan menuju PRU16 mesti diperhebatkan bagi memastikan gabungan itu berjaya memenangi hati pengundi dan seterusnya menerajui pemerintahan selepas ini. -MalaysiaGazette















