KUALA LUMPUR – Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Syahir Sulaiman menggesa pemimpin-pemimpin parti itu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhenti untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kepimpinan Perikatan Nasional (PN).
Jelas beliau, isu kepengerusian PN patut diselesaikan pucuk pimpinan parti menerusi mesyuarat kounsil penuh manakala di peringkat pelaksana (operator) parti, mereka seharusnya melaksanakan ‘gencatan senjata’ dengan tidak lagi berbalas kenyataan di media.
“Jika kalian berpandangan TSMY adalah Pengerusi PN yang masih ‘berkuatkuasa’, mudah sahaja, sila panggil mesyuarat segera. Kami hanya mahu teruskan perjalanan. Jangan berlengah lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, malam tadi.
ARTIKEL BERKAITAN
Syahir yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal mengenai isu kepengerusian PN yang menjadi subjek sindiran dan pertikaian di antara Bersatu dan Pas sejak Muhyiddin melepaskan jawatan tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menambah, di peringkat Pas, mereka hanya mahu meneruskan perjalanan terutama dalam memantapkan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Tambahnya, peletakan jawatan Muhyiddin sejak 1 Januari lalu sudah genap sebulan namun isu ini masih belum berkesudahan membuatkan perjalanan politik gabungan parti itu tergendala, ahli-ahli parti gelisah manakala rakyat terus menunggu.
“Kami hanya mahu teruskan perjalanan. Di Perak & Melaka, kami telah lancarkan jentera pilihanraya. Negeri lain, bakal menyusul.
“Di pihak PAS, jentera sudah siap siaga. Tabung sudah dikira. Calon pun sudah turun bekerja. Persiapan bukan setakat di 43 kerusi parlimen kami, termasuk di enam kerusi ‘lompat’, yang dilaporkan tidak terjaga.
“Itu belum termasuk, dua kerusi kalian yang dengarnya ‘bakal’ melompat, harapnya dapatlah berjaga,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















