Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bercakap pada sidang media selepas menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan SPRM di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 FEBRUARI 2026

PUTRAJAYA – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud diarahkan supaya segera membetulkan kelemahan serta kawasan kelabu yang dikesan dalam pengurusan kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah penambahbaikan itu perlu diseragamkan dan dilaksanakan secara jelas bagi menutup ruang serta peluang kepada pihak tertentu, termasuk penguat kuasa daripada terjebak dalam salah laku rasuah.

“Saya sudah minta Datuk Bandar menyegerakan tindakan supaya rakyat jelas dengan proses permohonan lesen yang dilaksanakan.

“Semuanya perlu ada hitam putih, supaya orang jelas dan tiada lagi ruang kelemahan yang boleh mengakibatkan interpretasi berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pemeteraian Nota Kerjasama antara DBKL dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman.

Akhbar media arus perdana pada muka hadapannya hari ini mendedahkan pengurusan dan pemantauan pelbagai kontrak DBKL termasuk penganugerahan lesen perniagaan disifatkan lemah dan ‘mundur’, tidak seiring dengan pembangunan serta pengiktirafan yang diterima bandar raya Kuala Lumpur.

Kelemahan ketara dan bersifat ‘tersembunyi’ itu dikhuatiri membuka ruang penyelewengan serta salah laku rasuah, sama ada dalam kalangan penguat kuasa mahupun pihak berkepentingan.

Antara kelemahan yang didakwa termasuk ketiadaan jawatankuasa pemantau bagi kontrak bernilai tinggi dan jangka panjang, khususnya yang dianugerahkan kepada syarikat swasta, selain dakwaan pelantikan sebuah syarikat ternama untuk memantau lesen perniagaan DBKL tanpa pemantauan rapi pihak berkuasa tempatan itu sendiri.

Mengulas lanjut, Hannah mengakui pihaknya turut menilai semula kelemahan yang dibangkitkan dan memberi komitmen untuk menutup segera ‘grey area’ dalam pengurusan serta pemantauan kontrak DBKL yang berpotensi membuka ruang rasuah.

Beliau turut mengesahkan dapatan siasatan tatakelola SPRM menunjukkan banyak kelemahan yang memerlukan pembaharuan segera oleh DBKL.

“Kita berterima kasih kerana SPRM masuk menjalankan penilaian tatakelola. Mereka menilai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan memang ada banyak kelemahan yang perlu dibaiki.

“Biasanya apabila SOP tidak jelas atau wujud ‘grey area’, ia membuka ruang kepada perbuatan rasuah. Sebab itu cadangan penambahbaikan yang dikemukakan adalah tepat dan perlu dilaksanakan segera,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hannah berkata pihaknya akan memperkukuh tadbir urus DBKL melalui empat langkah utama, termasuk pelaksanaan pusingan kerja yang lebih kerap khususnya melibatkan pegawai lapangan dan jawatan sensitif bagi mengurangkan risiko ancaman keakraban.

Beliau berkata, pengurusan perolehan turut akan ditambah baik melalui pelaksanaan sepenuhnya proses sebut harga dan tender secara dalam talian dari hujung ke hujung (end-to-end) bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan.

Selain itu, penggunaan kamera badan (body-worn camera) oleh anggota penguat kuasa akan dilaksanakan secara berfasa bermula suku keempat 2026 bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta menjadi bukti visual dan audio sekiranya berlaku pertikaian atau tuduhan salah laku.

“Langkah seterusnya ialah penilaian semula penarafan risiko Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) supaya pegawai SPRM boleh dipertimbangkan untuk ditempatkan di Unit Integriti pejabat berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast