Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan sebanyak 140 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara sedang dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir secara berperingkat.

Beliau berkata, projek itu diluluskan di bawah ‘Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13’ dan menjadi pendekatan utama kerajaan menangani isu banjir jangka panjang.

“Pelaksanaannya dibuat secara berfasa dan projek lain akan dipertimbangkan mengikut keutamaan serta kedudukan fiskal negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, semua projek pembangunan berskala besar turut dirujuk kepada Pelan Induk Tebatan Banjir bagi mengelakkan peningkatan risiko kepada penduduk setempat.

Dalam isu pemuliharaan sungai, Fadillah berkata, kerajaan memperuntukkan RM189.9 juta bagi tahun 2026 untuk kerja pengaluran, penstabilan tebing dan naik taraf sistem saliran.

Berkaitan hakisan pantai, beliau memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi keutamaan kepada kawasan kritikal melalui pembinaan struktur perlindungan, selain pemantauan berterusan di kawasan sederhana dan rendah risiko.

“Pendekatan ini penting bagi mengurangkan ancaman jangka panjang kepada komuniti pesisir,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai bekalan air di Sabah dan Sarawak, beliau berkata, walaupun ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pinjaman berjumlah RM3.38 bilion kepada Sabah dan RM1.2 bilion kepada Sarawak.

Selain itu, katanya, peruntukan geran turut disediakan bagi mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil melalui penggantian paip dan naik taraf sistem.

Bagi Labuan, Fadillah berkata, kerajaan menyediakan peruntukan khas RM300 juta untuk menaik taraf infrastruktur air dengan sebahagian projek sudah siap dan selebihnya sedang dilaksanakan.

Di Bukit Gantang pula, beliau berkata, pemasangan paip alternatif dan pembinaan Loji Rawatan Air Trong 2 dijangka menyelesaikan masalah gangguan bekalan dalam jangka panjang.

Dalam sektor elektrik, beliau berkata, usaha menaik taraf sistem pengagihan dan kabel bawah tanah di Labuan berjaya mengurangkan tempoh gangguan bekalan sejak dua tahun lalu.

“Indeks SAIDI berjaya dikurangkan daripada 96 minit pada 2024 kepada 82 minit pada 2025 dan disasarkan kepada 50 minit menjelang 2027,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan pembinaan loji jana kuasa baharu 120MW di Rancha-Rancha, Labuan dijangka mula beroperasi pada 2028.

Menyentuh tenaga lestari, Fadillah berkata, lebih 120 masjid di Semenanjung kini menggunakan tenaga solar di bawah program NEM dan institusi kerajaan digalakkan memanfaatkan program Solar ATAP.

Sementara itu, mengenai isu membabitkan IJM dan Sunway, beliau menegaskan, tawaran yang dikemukakan adalah Tawaran Am Sukarela dan terbuka kepada semua pemegang saham.

“PNB akan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan komersial dan tadbir urus,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan kekal komited memperkukuh pengurusan air, tenaga dan infrastruktur bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast