Ketua Polis Selangor, CP Datuk Pahlawan Shazeli Kahar bercakap pada sidang media berkenaan berhubung kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 FEBRUARI 2026.

SHAH ALAM – Polis menahan enam individu termasuk warga tempatan dan asing disyaki terlibat sindiket penipuan dalam talian call centre kerja sambilan di sebuah rumah di Bandar Sungai Long, Kajang pada 23 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ia membabitkan seorang lelaki warga tempatan, empat lelaki dan seorang wanita warga asing berumur di antara 28 hingga 33 tahun.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang melakukan serbuan ke atas sebuah kediaman di Bandar Sungai Long, Kajang kira-kira 12.30 tengah malam.

“Dalam serbuan sama, polis turut merampas enam komputer, 12 telefon bimbit dan empat wifi mudah alih bernilai RM30,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor, CP Datuk Pahlawan Shazeli Kahar menunjukkan suspek yang dipaparkan berkenaan sindiket penipuan atas talian “Call Center” di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 FEBRUARI 2026.

Menurut Shazeli, hasil siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Disember 2025 dengan menyasarkan warganegara Australia dan Itali sebagai mangsa.

Kesemua tangkapan berperanan sebagai operator bagi mencari dan meyakinkan mangsa untuk menambah pendapatan dengan menyertai kerja sambilan yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp, Telegram dan juga laman web https://app.gelnix.vip/login.

Beliau berkata, kesemua enam individu terbabit direman selama enam hari bermula pada 23 hingga 28 Januari 2026.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (bagi kesalahan menipu) dan Seksyen 120b Kanun Keseksaan (bagi kesalahan pakat jahat jenayah).

“Kesemua tangkapan juga telah dituduh mengikut Seksyen 120 B (2) Kanun Keseksaan pada 28 Januari 2026 dan dikenakan denda sebanyak RM2,500 seorang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast