GOMBAK – Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut selepas disyaki terjatuh dari bangunan di sebuah kondominium di Batu Caves, dekat sini, Isnin lalu.
Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang bergegas ke tempat kejadian mendapati remaja terbabit ditemukan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir yang mengesahkan insiden itu berkata, mangsa juga adalah warga tempatan.
“Sepasukan polis dari IPD Gombak bersama petugas perubatan dari Hospital Selayang telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan awal.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Noor Ariffin berkata, hasil siasatan awal mendapati, tidak sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan parah di bahagian kepala, konsisten dengan impak jatuh dari tempat tinggi.
“Kes itu diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR),” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi ahli keluarga mangsa.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridzuan Alang; Ketua Polis Balai Selayang di talian 019-4492685 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















