Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bertindak membakar rumah abang iparnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras  selepas mendakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, ketika kejadian pada 8.30 pagi semalam, suspek berusia 40 tahun itu datang ke kediaman mangsa untuk mengambil semula barang miliknya.

Jelasnya, ketika itu suspek gagal mengawal perasaannya apabila menjerit dan menuduh pengadu yang telah merosakkan rumah tangganya.

“Bagi mengelakkan pergaduhan, pengadu membenarkan suspek masuk untuk mengambil barang dan pengadu telah beredar ke hujung tangga blok.

“Tidak lama kemudian, jiran memaklumkan bahawa rumah pengadu telah terbakar. Pihak bomba telah tiba dan berjaya memadamkan kebakaran tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Susulan itu, katanya, suspek 34 tahun ditahan pada 11.25 pagi hari yang sama.

Menurutnya, semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah positif dadah.

Tambah Mohd Rosdi, kes berkenaan disiasat di Bawah Seksyen 436 dan 506 Kanun Keseksaan.

“Reman akan dipohon pada 04/02/2026 di IPD Brickfields,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast