Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menegaskan tindakan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi salam hormat kepada menteri, termasuk tunduk atau mencium tangan, tidak wajar ditafsir sebagai merendahkan martabat institusi pertahanan negara.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap pandangan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor yang mempersoalkan tindakan kepimpinan ATM ‘mencium tangan menteri’ dan mencadangkan ia dihentikan.

Bercakap ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Dewan Rakyat, hari ini, Adly berkata, amalan memberi salam dan tunduk sebagai tanda hormat adalah perkara biasa dalam budaya masyarakat, khususnya apabila orang awam bertemu pemimpin atau pegawai kanan.

“Saya sendiri apabila bertemu panglima, sebagai orang awam kita tidak tabik, kita tunduk. Itu tanda hormat, bukan merendahkan sesiapa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, imej atau gambar yang memaparkan situasi sedemikian tidak seharusnya ditafsir secara berlebihan sehingga memberi gambaran negatif terhadap ATM.

“Jangan kita alihkan maksudnya seolah-olah ia satu bentuk penghinaan atau kerendahan,” ujarnya.

Pada masa sama, Adly menegaskan, isu berkenaan tidak wajar dijadikan polemik kerana penghormatan terhadap anggota pertahanan negara tidak pernah dipertikaikan.

“Kita sentiasa menghargai pengorbanan anggota ATM yang bukan sahaja mengorbankan masa, malah nyawa demi negara. Tidak pernah timbul soal mahu merendahkan mereka dalam apa jua keadaan,” tegasnya.

Khlir Mohd Nor membuat teguran itu hari ini ketika sesi pertanyaan soalan lisan yang turut dihadiri oleh Adly.

Ketika itu, Adly tidak memberi respons, sebaliknya hanya berkata teguran itu disifatkan sebagai pengajaran pada masa akan datang kelak tanpa memberikan apa-apa justifikasi ketika itu. -MalaysiaGazette

MP Ketereh tempelak budaya jeneral cium tangan Menteri Pertahanan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast